sukan

‘Tidak profesional’ dan ‘paling diatur’

Peminat mengecam undian Piala FA dengan mendakwa ia sebagai ‘paling diatur’ selepas satu format baharu yang ‘tidak profesional’ diperkenalkan.

Manchester United meraih perlawanan separuh akhir impian menentang pasukan Liga Kejuaraan, Coventry hanya beberapa minit selepas melakukan kebangkitan luar biasa ketika menewaskan Liverpool 4-3.

Keputusan undian lain menyaksikan juara bertahan, Manchester City akan menentang Chelsea yang menewaskan Leicester 3-2.

Namun, segelintir penyokong tidak berpuas hati dengan cara undian dijalankan.Berlangsung secara langsung di ITV, Ian Wright menggoncang beg yang berisi bola undian sebelum menunjukkan nombor kepada kamera.

Bagaimanapun, penonton belum diberitahu terlebih dahulu nombor terbabit berkaitan dengan pasukan mana.

Situasi itu jauh berbeza daripada kebanyakan proses undian, yang biasanya berlaku dalam suasana lebih formal.

Ia menyebabkan beberapa peminat mengecam format baharu yang ‘tidak profesional’, malah ada yang mendakwa undian itu sebagai ‘paling diatur’ kerana kurang ketelusan mengenai nombor pasukan.

Seorang peminat berkata: “Ini adalah undian Piala FA paling diatur yang pernah saya lihat. Sangat tidak profesional.”

Seorang lagi peminat berkata: “Sejak bila kami pernah membuat undian Piala FA tanpa diumumkan siapa setiap nombor terlebih dahulu?”

Seorang lagi menambah: “Undian Piala FA diatur, tidak memberitahu kami mengenai nombor.

Bagaimanapun, tiada peminat yang dapat menunjukkan sebarang bukti terhadap dakwaan mereka bahawa undian itu sudah diatur dan tiada aduan daripada mana-mana kelab terbabit. – AGENSI