sukan

Oman kunci Malaysia ke Arab Saudi

Skuad Harimau Malaya masih ‘terliur’ dengan prospek menguji pasukan terbaik di Asia sekali gus mahu sekali lagi beraksi di Piala Asia 2027 selepas menamatkan kempen Piala Asia 2023 di peringkat kumpulan.
emain tengah skuad negara, Paulo Josue mengakui dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman ini begitu mustahak memandangkan ia boleh dianggap sebagai ‘kunci’ dalam misi layak ke pusingan seterusnya.

Sebagai rekod, skuad negara ketika ini berada pada landasan terbaik untuk mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang mana secara automatik turut layak untuk berentap di Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Ini selepas skuad bimbingan Kim Pan Gon berjaya mendahului Kumpulan D selepas dua perlawanan hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Chinese Taipei, November lalu.

“Ini aksi yang sangat penting kerana Malaysia ada peluang untuk mencipta sejarah. Jika kita berjaya dapat tiga mata di tempat lawan, kita hanya selangkah untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Kemudiannya jika kita dapat mengalahkan mereka sekali lagi di sini, kita akan layak (ke pusingan seterusnya). Kita perlu layak kerana kita harus sentiasa menguji pasukan terbaik seperti Korea Selatan dan Jepun.

“Sebab itulah kita perlu menjadi sebahagian daripada pertandingan ini supaya berpeluang berdepan perlawanan yang sukar dan kita akan bersedia sepenuhnya,” katanya.

Dalam masa sama, pemain tengah KL City FC itu mengharapkan rakan sepasukannya dapat memberikan semangat juang yang tinggi meskipun Oman memiliki kelebihan dari segi kedudukan ranking dan pemainnya berada dalam keadaan terbaik susulan beraksi dalam saingan domestik.

“Kita perlu menunjukkan aksi yang terbaik dan kita ada peluang untuk mencatat keputusan yang positif. Kita sudah buktikan sebelum ini ketika menentang Korea Selatan (di Piala Asia 2023).

sumber:- BH

“Kita harus dapatkan keputusan yang baik daripada perlawanan seperti ini,” kata Josue.