sukan

Ada penaja sudah tarik diri

Pengurusan Perlis United FC (PUFC) mengakui bahawa ada penaja yang sudah menarik diri daripada menaja kelab berkenaan namun masih ada yang kini pada fasa terakhir perbincangan penajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply berkata, perjanjian penajaan yang dijanjikan oleh sebilangan penaja tempoh hari bukanlah satu janji kosong kerana ia turut membabitkan penerimaan surat hasrat atau letter of intent (LOI).

“Ada yang sudah tarik diri dan ada yang masih di peringkat terakhir perbincangan perjanjian. Omongan kosong (penajaan) dari pihak mana, jika di pihak kami, ia tiada kerana kami ada menerima LOI sebelum ini dari penaja.

“Malah, jumlah yg dinyatakan pun dari pihak penaja bukan dari kami dan yang lain-lain masih belum dapat beri komen,” katanya.Beliau berkata demikian dalam satu jawapan balasnya terhadap pertanyaan daripada seorang penyokong bola sepak negeri itu mengenai perkembangan penajaan PUFC menerusi laman Facebooknya hari ini.

Katanya, buat masa ini, pihaknya masih tetap fokus berhubung penajaan untuk beraksi di Liga Super musim ini disebabkan masih mempunyai tempoh masa diberikan MFL.

“Buat masa sekarang kami tengah fokus untuk tajaan Super League sebab masih ada masa yang diberikan.

“Pelan B kita pula adalah bermain untuk Liga M3 semula manakala pelan C pula adalah tidak menyertai mana-mana liga,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, banyak pihak bertanya kepadanya berhubung kelebihan diterima penaja yang berjaya menaja PUFC dan salah satunya adalah membabitkan pengecualian cukai dari nilai disalurkan.

“Selain itu, (PUFC) mempunyai ‘fan base’ yang ramai ‘so very good investsment’, penjenamaan atau ‘branding’ melalui papan ‘LED A Board/Sign Board’ sekitar stadium yang turut merangkumi ‘live tv’ yang akan ditonton seluruh negara di mana jenama (brand) penaja akan terpampang pada jersi pasukan.

“Dalam masa yang sama juga, pelbagai program dan acara akan disusun (PUFC) buat syarikat penaja, penyediaan bilik khas VVIP setiap perlawanan bagi penaja utama, pas perlawanan bagi penaja yang lain dan banyak lagi,” katanya.

Rozailmee mempelawa pelbagai pihak terutama penaja untuk menghubungi beliau bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penajaan berkenaan dan dirinya sendiri akan berada di Kuala Lumpur sehingga tengah hari esok.

Sebelum ini wujud desas desus daripada beberapa portal berita bahawa PUFC akan mengambil keputusan untuk tidak menyertai saingan Liga Super Malaysia musim ini meskipun sudah diberikan ‘lampu hijau’ daripada pengendali Liga Super, Malaysian Football League (MFL).

sumber:- BH

Ini berikutan wujud dakwaan ketidaktentuan hala tuju kelab yang berpangkalan di Kangar itu terutama dari segi penajaan dan serta proses melangsaikan gaji pemain yang tertunggak sebelum ini.