sukan

Peluang jumpa Korea dan Jepun sekali lagi

Dua aksi berdepan Oman di Muscat dan Bukit Jalil masing-masing pada 22 dan 26 Mac ini disifatkan penting dalam usaha skuad Harimau Malaya melakar satu lagi sejarah gemilang buat bola sepak negara.

Ia diakui penyerang naturalisasi negara, Paulo Josue yang mahu memburu seberapa banyak mata dalam dua aksi itu termasuk tidak menyembunyikan keinginan untuk cuba memburu enam mata maksimum dalam dua aksi terbabit.

Katanya, jika perkara itu berjaya direalisasikan, anak buah Kim Pan-gon bakal sekali lagi berdepan pasukan-pasukan handalan Asia di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti.

“Aksi menentang Oman amat penting bagi Malaysia kerana jika kita raih tiga mata (di Muscat), kita hampir selangkah ke peringkat seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia.

“Jika mereka datang ke sini (di Stadium Nasional Bukit Jalil) dan kita sekali lagi berjaya menang, kita akan layak ke peringkat seterusnya.

“Jika layak (pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026) kita akan bertemu lagi dengan pasukan kuat di Asia seperti Korea, Jepun dan lain-lain.

“Jadi itu penting buat Malaysia melakar sejarah ke peringkat seterusnya dan terus berada dalam kejohanan ini untuk bermain dalam aksi yang sukar,” kata pemain kelahiran Brazil itu.

Ketika ini, skuad negara memimpin carta Kumpulan D dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan mengumpul enam mata daripada dua aksi dilalui.

Selain dua perlawanan dengan Oman, Malaysia akan sekali lagi turun menentang Taiwan dan Kyrgyzstan yang dijadual berlangsung pada Jun ini sebelum boleh mengintai slot ke pusingan ketiga kelayakan, di mana dua pasukan terbaik akan meraih slot itu.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya tidak pernah melepasi pusingan ketiga atau lebih tepat pusingan terakhir zon Asia ke Piala Dunia sejak menyertai kelayakan itu pada 1958 hingga kini, dengan pencapaian paling jauh hanyalah pusingan kedua kelayakan Asia.

Ujarnya lagi, skuad negara sebenarnya mampu mengulangi corak permainan tersusun dan bertenaga seperti mana ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Piala Asia di Qatar, Januari lalu.

“Kita harus sentiasa bersedia dan berikan 100% untuk pasukan sebegitu seperti apa yang kita pamerkan sewaktu menentang Korea Selatan dalam Piala Asia tempoh hari.

sumber:- HM

“Saya rasa ini peluang terbaik untuk buktikan kemampuan Malaysia namun kita harus dapatkan keputusan positif terlebih dahulu (menentang Oman) untuk menentang pasukan-pasukan hebat,” katanya.