sukan

Memori final Seluruh England 2019 julang Aaron-Wooi Yik

Selepas memenangi halangan pertama di Seluruh England, semalam, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mula membayangkan mereka mampu mengulangi detik indah pada 2019.

Ketika itu, Aaron-Wook Yik melakar kejutan apabila mara ke final sebelum tumpas kepada pasangan berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000.

Di pusingan pertama yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, malam tadi, Aaron-Wooi Yik diberikan cabaran oleh rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebelum menang 21-19, 21-17 dalam tempoh 33 minit.

Menurut Wooi Yik, dia berasa gembira dapat memenangi perlawanan pertama dan mengakui Seluruh England sentiasa menjadi kejohanan istimewa sejak mula menyertainya.

“Kami pernah mara ke pentas final dan berharap dapat mencipta memori lagi di sini,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan semalam.

Ujarnya, bukan mudah untuk bersaing dengan rakan senegara (Sze Fei-Nur Izzuddin) kerana diberi tentangan sengit, tetapi pada akhirnya mereka mampu untuk mengawal permainan.

Gandingan di ranking kelima dunia itu dijadual bertemu lawan dari Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei di pusingan kedua, esok, sekali gus menjadi pertemuan kedua mereka selepas kali terakhir di Masters Malaysia 2022.

sumber:- HM

Pada ketika itu, Aaron-Wooi Yik menewaskan beregu di ranking ke-39 dunia itu, 23-21, 21-16 di suku akhir sebelum perjalanan mereka ke final disekat beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di separuh akhir.