sukan

Import sah ‘angkat kaki’

Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengesahkan penyerang import dari Brazil, Rafael Silva tidak lagi bersama Sri Pahang FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pengumuman menerusi Facebook rasmi Sri Pahang FC itu hari ini, menyatakan ia berdasarkan persetujuan bersama antara Rafael dan SPFC.

“Terima kasih Rafael Silva. Sri Pahang FC dan Rafael Silva telah mencapai persetujuan untuk penamatan kontrak secara bersama.

“Kelab merakamkan penghargaan di atas komitmen dan sumbangan penyerang dari Brazil ini sepanjang menyarung jersi Sri Pahang,” menerusi hantaran itu.

Rafael menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua musim lalu, namun prestasi tidak menentu menyebabkan khidmat pemain berusia 33 tahun itu ditamatkan.

Berikutan pengumuman itu, setakat ini skuad itu memiliki lima import iaitu Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina), Kuvondik Ruziev (Uzbekistan), Manuel Hidalgo (Argentina) dan Mykola Ahapov (Ukraine).

sumber:- HM

Difahamkan, kelab berusaha mendapatkan seorang pemain pertahanan import yang dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.