sukan

Aksi JDT-Selangor bakal cipta sejarah

Aksi Piala Sumbangsih yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor bakal mencipta sejarah sebagai perlawanan pertama dalam Liga Malaysia (Liga M) menggunakan video bantuan pengadil (VAR).

Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Mei depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya sedang berusaha keras untuk memastikan semua perlawanan musim ini menggunakan VAR.

Beliau bagaimanapun mengakui perkara itu bukan mudah kerana ia membabitkan aspek logistik untuk membawa peralatan teknologi itu ke setiap venue terutama ke Sabah dan Sarawak.

“Kita sedang cuba sedaya upaya dari perlawanan pertama sehingga perlawanan terakhir, semua perlawanan ada VAR. Ia membabitkan perlawanan peringkat tertinggi seperti Liga Super, Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Memang ada untuk kita buat VAR tetapi tak senang termasuk dalam isu logistik tempatan, naik kapal terbang apabila ada perlawanan dekat Sabah dan Kuching (Sarawak).

“Kita ada empat set VAR, tetapi kita ada setiap minggu tujuh perlawanan. Apabila buat jadual, penjadualan kita juga perlu ikut ke mana VAR ini akan bergerak seperti dari Kelantan ke Pahang, Terengganu ke Pulau Pinang,” katanya.

Perkembangan itu bakal menyaksikan hasrat besar untuk peminat bola sepak tempatan melihat pelaksanaan teknologi VAR dalam Liga M akan menjadi kenyataan pada musim ini.

Sementara itu, Stuart menjelaskan pihaknya akan melakukan sesi ujian terhadap teknologi berkenaan di venue sebelum saingan Liga M bermula Mei depan.

sumber:- BH

“Ada siri perlawanan ujian yang mana kita akan uji VAR di Pulau Penang, Kedah, Selangor dan venue lain iaitu setiap venue yang belum lagi menggunakan VAR. Macam di SSI (Stadium Sultan Ibrahim) memang kita sudah tahu boleh,” katanya.