sukan

Zii Jia akui punca kecundang awal di Terbuka Perancis

Masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan Lee Zii Jia dalam persiapannya menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Masalah konsistensi terus menghantui pemain perseorangan lelaki profesional negara itu selepas dia ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Perancis, awal pagi tadi.

Pemain ranking ke-10 dunia itu dikejutkan dengan kekalahan di tangan wakil Denmark yang menduduki ranking ke-33, Magnus Johannesen 15-21, 19-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

Bekas juara Seluruh England itu mengakui banyak kesilapan mudah yang dilakukannya dalam perlawanan itu selain sikap tidak sabar yang menjadi punca kekalahannya.

“Saya mungkin tidak cukup sabar dan melakukan banyak kesilapan mudah. Pukulan pertahanannya membuatkan saya hilang keyakinan.

“Secara jujurnya, saya tidak dapat mengawal permainan sepanjang perlawanan berlangsung.

“Magnus bermain dengan sangat baik hari ini, sejak dua tahun lalu dia menghasilkan keputusan yang baik dan berjaya melakukan beberapa kejutan ke atas pemain utama. Dia menunjukkan peningkatan prestasi yang cukup baik,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Keputusan itu jelas di luar jangkaan selepas Zii Jia mudah mengatasi Johannesen 21-11, 21-5 ketika pusingan pertama Terbuka Jerman pada Mac tahun lalu yang juga pertemuan pertama antara kedua-dua pemain.

Kekalahan menyaksikan badi tersingkir di pusingan awal di Terbuka Perancis terus menghantui Zii Jia apabila dia gagal sekurang-kurangnya melangkah ke suku akhir sejak 2019.

Sementara itu, Johannesen jelas gembira dengan kejayaan menewaskan Zii Jia yang menjadi kemenangan pertamanya dalam saingan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.

“Saya bermain dengan baik, saya mengikut semua strategi permainan dan membuat keputusan dengan tepat.

“Tahun lalu, saya tewas dengan jurang yang besar kepada Zii Jia. Ketika itu ia adalah salah satu pertemuan pertama saya dengan pemain utama dunia.

“Sejak itu, saya berpeluang menentang pemain seperti Viktor Axelsen (Denmark) dan Shi Yu Qi (China). Jadi, ia satu pencapaian yang besar untuk saya dengan kemenangan hari ini.

“Diharapkan kemenangan ini dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan saya,” katanya.

Zii Jia selepas ini akan mengalihkan fokus kepada saingan Seluruh England yang bermula dari 12 hingga 17 Mac ini.

Dia berdepan ujian getir apabila dijadual menentang pemain nombor enam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama.

sumber:- BH

Naraoka bagaimanapun turut mengalami nasib sama dengan Zii Jia apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas mengejut di tangan pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo 21-14, 20-22, 17-21.