sukan

MFL sah akan kenakan FFP

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan Peraturan ‘Financial Fair Play’ (FFP) bakal diumumkan badan pengendali liga itu dalam masa terdekat ini.

Stuart ketika ditemui selepas aksi persahabatan antara MFL dan NSTP menjangkakan perkembangan itu dapat dimaklumkan sebelum penghujung bulan ini.

Bagaimanapun, Stuart menjelaskan pelaksanaan FFP dalam konteks Liga Malaysia (Liga M) sudah pastinya berbeza dengan pendekatan FFP yang sudah diguna pakai di liga terkemuka dunia.

“Kita kena faham apabila kita merujuk FFP di liga terkemuka dunia contohnya di Eropah, pendekatan mereka berbeza dari segi terlebih belanja, penggunaan untuk ‘sport washing’ dan kegiatan perbelanjaan mereka untuk tiga ke empat tahun kewangan.

“Kalau dalam konteks kita, kita hanyalah isu gaji dan sebab itulah, FFP kita berbeza dengan FFP di negara yang bola sepaknya lebih matang. Kita kena faham konteks FFP ini kerana masalah kita hanyalah masalah tidak bayar gaji,” kata Stuart.

Sebagai rekod, FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab pasukan untuk memastikan akaun mereka kekal sihat daripada hutang melampau.

Ketika ini, badan pengendali liga itu sudah menggunakan model ECP supaya pasukan dapat mengawal perbelanjaan mereka sekali gus mereka tidak berbelanja melebihi apa yang sepatutnya.

sumber:- BH

Mula diperkenalkan pada 2020, tujuan ECP adalah untuk mewujudkan peraturan belanjawan, kriteria, prosedur dan templat pasukan Liga M bagi mematuhi peraturan selain mengelakkan mereka berbelanja secara berlebihan berdasarkan kemampuan mereka.