sukan

Manchester City bergaya ke suku akhir

Penyandang juara Manchester City layak ke suku akhir Liga Juara-Juara buat musim ketujuh berturut-turut apabila menang 3-1 ke atas FC Copenhagen awal pagi tadi pada aksi kedua pusingan 16 terakhir yang melengkapkan kemenangan agregat 6-2.

City, yang memulakan perlawanan dengan kelebihan dua gol, tidak berdepan masalah selepas gol babak pertama menerusi Manuel Akanji, Julian Alvarez dan Erling Haaland.

Dengan kunjungan ke Liverpool bagi pertembungan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris menanti Ahad ini, pengurus Pep Guardiola merehatkan tonggak utamanya termasuk Kevin De Bruyne dan Phil Foden, melakukan tujuh perubahan berbanding skuad yang menundukkan Manchester United 3-1 hujung minggu lalu.

“Hari ini, saya memerlukan tenaga, pemain yang cergas,” kata Guardiola. “Saya tahu betapa letihnya sesetengah pemain saya hari ini… Kami bermain Ahad ini. Jadi saya perlukan pemain yang cergas.”

City ketinggalan satu mata di belakang Liverpool dan satu mata di depan Arsenal selepas 27 perlawanan liga dalam perebutan kejuaraan yang sengit.

Mereka turut bersaing dalam Piala FA dan bertemu Newcastle United pada suku akhir 16 Mac ini.”Untuk menjadi sebahagian daripada kejuaraan, kami perlukan setiap orang,” kata Guardiola. “Bagi setahun lagi kami antara lapan pasukan terbaik di Eropah. Amat gembira kami masih bersaing dalam semua pertandingan.”

Akanji meledak gol dengan peluang pertama City, merembat voli sepakan sudut Alvarez pada minit kelima.

“Saya lihat bola datang. Ia tepat ke arah kaki saya,” kata Akanji kepada TNT. “Saya amat gembira mengenainya. Menjadi sasaran kami untuk menjaringkan gol awal. Dua gol pertama pada babak pertama memudahkan tugas kami. Kami cuba melakukan yang terbaik dan melakukan apa yang kami perlu lakukan.”

Alvarez menyumbat gol kedua empat minit kemudian, dibantu kesilapan penjaga gol Kamil Grabara, yang membenarkan percubaan penyerang City itu melepasi jangkauannya beberapa saat selepas tendangan Rodri terkena palang.

sumber:- BH

Bekas pemain Southampton, Mohamed Elyounoussi membalas satu gol buat juara Denmark itu pada minit ke-29 tetapi mesin pencetak gol City, Haaland merembat leret melepasi kawalan dua pemain pertahanan beberapa saat sebelum rehat bagi gol ke-29 buatnya musim ini dalam semua pertandingan. – REUTERS