Benarkah Manuel Hidalgo bakal muncul pemain naturalisasi kesembilan skuad Harimau Malaya?
Persoalan itu timbul selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dikatakan mengambil langkah bijak dengan mengikat pemain muda berusia 25 tahun itu daripada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum dipinjamkan ke Sri Pahang untuk saingan Liga Super musim ini.
Hidalgo yang bakal memasuki musim keempatnya di Liga Malaysia dijangka boleh dinaturalisasikan oleh JDT pada 2026 sebaik tempoh lima tahun beraksi secara konsisten di Malaysia kekal.
Ini bermakna dia bakal mengikut jejak lapan lagi tonggak naturalisasi negara yang sudah diberikan taraf kerakyatan iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Endrick Dos Santos, Paulo Josue dan Romel Morales.
Lantas jika benar Hidalgo adalah calon bintang naturalisasi terbaharu negara itu nanti, ia bukan saja memberi kelebihan kepada JDT, tetapi sebenarnya bakal memberi impak lebih besar buat skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi nanti.
Perkara itu diakui pengendali berpengalaman negara, Mohd Fauzi Pilus yang melihat kehadiran Hidalgo bakal memberi impak bermakna buat pasukan bimbingan Kim Pan-gon untuk tampil lebih ampuh sekiranya layak ke Piala Asia 2027 nanti.
“Saya sifatkan Hidalgo sebagai pemain ada teknik kawalan bola, kepantasan dan keupayaan seperti pemain Argentina yang mampu menggelecek dengan baik ketika beraksi.
“Untuk beraksi di Piala Asia kali kedua berturut-turut (selepas edisi 2023 di Qatar, Januari lalu), kita perlukan pemain yang ada teknik dan kemampuan tinggi untuk bertanding di Asia.
“Dengan adanya Hidalgo, saya melihat dia boleh beri impak kepada pasukan khususnya apabila bersaing di peringkat antarabangsa nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Menurutnya, Hidalgo bakal memberi saingan sihat kepada bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi di posisi sayap kanan, sekali gus memberikan lebih pilihan buat Pan-gon di bahagian itu.
“Malah, dia mampu beraksi di beberapa posisi seperti di nombor 8 mahupun nombor 7 bagi memberi variasi kepada skuad negara suatu hari ini.
“Saya melihat kehadirannya bakal beri saingan sihat kepada Arif Aiman di bahagian sayap kanan serta kelebihan kepada Pan-gon untuk terapkan corak permainan dikehendakinya dan pilihan lebih banyak di posisi itu,” katanya.
Hidalgo pernah beraksi bersama pasukan Bawah 21 Tahun (B-21) Sheffield Wednesday di England sebelum memilih haluan ke Liga M dengan menyertai Sri Pahang selama dua musim dari 2021-2022.
sumber:- HM
Pada musim lalu, dia berhijrah ke KDA FC, namun jodohnya tidak panjang apabila diikat JDT pada musim ini dan dia dipinjamkan ke skuad Tok Gajah.