sukan

Mbappe jawab krisis dengan jurulatih

Kylian Mbappe menegaskan dia “tidak mempunyai sebarang masalah” dengan jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique selepas menyumbat dua gol ketika menang ke atas Real Sociedad pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Menyarung lilitan lengan sebagai kapten, Mbappe membuka tirai jaringan selepas 15 minit pada aksi kedua di San Sebastian sebelum meledak sekali lagi pada awal babak kedua.

PSG menang perlawanan itu 2-1 dan memastikan kemaraan 4-1 secara agregat selain tempat ke suku akhir buat kali pertama sejak 2021.

“Tidak mengapa. Tidak ada masalah dengannya, walaupun orang mungkin menganggap ada masalah. Saya memang ada masalah tetapi jurulatih bukan orangnya,” kata Mbappe kepada Canal Plus apabila ditanya mengenai hubungannya dengan Enrique.

Terdahulu, Mbappe sama ada bermula dari bangku simpanan atau digantikan dalam tiga aksi terakhir Ligue 1 sejak memaklumkan kepada kelab dia akan pergi apabila kontraknya tamat hujung musim ini.

Dia digantikan selepas rehat ketika seri 0-0 di bekas kelabnya Monaco hujung minggu lalu, tetapi dia beraksi 90 minit kali ini dan mengumpul 34 gol dalam 34 perlawanan musim ini.

“Kami terlalu gembira layak ke suku akhir,” jelas Mbappe, yang menyerlah dalam jentera serangan yang menyaksikannya beraksi di sayap kiri, dengan Bradley Barcola di kanan serta Ousmane Dembele di tengah.

“Saya tidak mempunyai sebarang mesej khusus. Saya sering kali mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara.

“Ia satu pertandingan yang penting. Saya cuba beraksi pada tahap terbaik sepanjang masa. Kadang-kadang ia menjadi dan kadang-kadang tidak, tetapi saya tidak akan lari daripadanya.”

sumber:- BH

Naib juara pada 2020, PSG tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara dan tersingkir pada pusingan 16 terakhir dalam lima daripada tujuh musim terakhir. – AFP