sukan

Malaysia ada 16,228 pemain

Seramai empat pemain naturalisasi dan tujuh pemain kacukan beraksi untuk skuad bola sepak Malaysia dalam Kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar, baru-baru ini.

Begitupun, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, di sebalik kebimbangan kehilangan bakat muda, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebenarnya sedang giat menyediakan platform bagi mencari bakat baharu bola sepak negara.

Menurutnya, fokus utama adalah kepada anak muda berusia tujuh hingga 17 tahun yang kini terlibat dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara sejak 2014.

“Program ini telah diselaraskan dengan pelan jangka panjang bola sepak Malaysia oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikenali sebagai F30.

“Sehingga kini, program pembangunan bola sepak negara mempunyai seramai 16,228 pemain, 767 orang jurulatih daripada 63 Akademi Tunas, 63 pusat latihan daerah dan 14 buah sekolah sukan negeri.

“Selain itu, kita juga mempunyai sebuah sekolah sukan Malaysia dan sebuah Akademi Bola Sepak Malaysia Mokhtar Dahari (AMD),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata FAM telah menghentikan buat sementara program naturalisasi pemain di peringkat kebangsaan.

sumber:- SA

Adam Adli menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH – Tebrau) yang ingin tahu jumlah pemain diberi kewarganegaraan bagi mewakili Malaysia dalam Piala Asia baru-baru ini dan usaha FAM memajukan sukan itu termasuk sama ada dasar naturalisasi diteruskan.