sukan

Komen Pep Guardiola selepas berjaya ‘ajar’ Manchester United

Pep Guardiola berkata Phil Foden muncul antara pemain berbakat ‘bertaraf dunia’ yang mampu menjadi penentu kepada perlawanan besar selepas bintang berusia 23 tahun itu menjaringkan dua gol ketika Manchester City meraih kemenangan 3-1 ke atas Manchester United, awal pagi tadi.

Gol mengejutkan Marcus Rashford menyaksikan United mendahului seketika di Etihad.

Namun Foden memastikan City tidak menyerah kalah dalam persaingan memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila meledak gol ke penjuru atas gawang lawan dan kemudian menghasilkan penyudah cantik 10 minit sebelum tamat perlawanan.

Erling Haaland menambah gol ketiga pada masa kecederaan sekali gus menyaksikan City kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Liverpool menjelang pertembungan antara kedua-dua pasukan itu 10 Mac ini.

“Saya sentiasa merasakan dia akan menjaringkan gol dan kini dia membantu memenangi perlawanan. Untuk menjadi pemain bertaraf dunia pada usianya, anda perlu memenangi perlawanan,” kata Guardiola.

“Dia hidup untuk bermain bola sepak. Sebab itu pada usia 18, 19 tahun dia sudah membuktikan sesuatu tetapi kini dia lebih matang.

“Dia sentiasa menjaringkan gol tetapi kini menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan dan apabila anda berjaya melakukan perkara itu, anda mencapai satu tahap berbeza sebagai seorang pemain,” katanya lagi.

Sementara itu Foden berkata, dia sememangnya mahu menjadi watak penting untuk City terutamanya dalam perlawanan utama.

“Inilah yang saya mahu lakukan. Saya rasa prestasi saya meningkat pada musim ini,” kata Foden yang sudah menjaringkan enam gol dalam sembilan perlawanan Liga Perdana menentang United.

sumber:- HM

Kekalahan liga ke-11 musim ini untuk United menyebabkan anak buah Erik ten Hag ketinggalan 11 mata daripada kelompok empat teratas ketika berbaki 11 perlawanan.