sukan

FAM akan ambil tindakan tegas

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam insiden pergaduhan pada pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2024.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Md Dali Wahid menjelaskan perkara itu turut ditekankan ketika sesi taklimat kepada pasukan bertanding, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM berkata, aspek keselamatan akan dititikberatkan berikutan perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia ada yang berlangsung di padang terbuka selain di stadium.

“Taklimat hari ini banyak menyentuh berkaitan segala peraturan perlu dipatuhi dan undang undang pertandingan. Saya juga sentuh mengenai keselamatan sebab perlawanan Piala Presiden dan Piala Belia dianjurkan di padang terbuka dan ada juga di stadium.

“Apabila terbuka, macam tahun lalu ada insiden yang tidak diingini berlaku, contoh macam pergaduhan dan memukul pengadil. Jadi kita harap tahun ini kita tak nak perkara itu berlaku.

“Saya juga sebagai Jawatankuasa Keselamatan akan ambil tindakan tegas terhadap insiden terbabit dan kita memang akan menitikberatkan soal keselamatan,” katanya.

Md Dali berkata demikian pada sidang media selepas majlis undian Piala Presiden dan Piala Beliau bagi musim 2024 di Wisma FAM, hari ini.

Saingan Piala Belia yang membabitkan pasukan bawah 18 (B-18) tahun yang dibahagaikan kepada dua kumpulan akan bermula pada 27 April dengan saingan menggunakan format liga dua pusingan dan empat pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir.

Sementara itu, pertandingan Piala Presiden yang membabitkan pasukan B-20 turut menggunakan format sama akan bermula pada 21 April depan.

Mengulas lanjut, Md Dali menjelaskan pihaknya berharap pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia itu dapat melahirkan lebih ramai pemain pelapis untuk skuad negara.

“Pertandingan Piala Presiden dan Belia adalah projek pembangunan, saya yakin ini landasan untuk negeri memilih pemain mewakili negeri dalam SUKMA (Sukan Malaysia) nanti.

sumber:- BH

“Malah, kita yakin akan lahir pemain terbaik untuk diketengahkan mewakili negara. Kita berharap pencapaian tahun ini lebih baik dan dapat mencungkil bakat baharu,” katanya.