sukan

Tan Cheng Hoe terselamat aksi pertama di Thailand

Jaringan penalti Juvhel Tsoumou pada babak kedua ketika menentang Nakhon Pathom, semalam menyelamatkan Tan Cheng Hoe daripada menerima kekalahan pada penampilan pertamanya dalam Liga 1 Thailand.

Tsoumou menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-74 untuk membantu Police Tero FC meraih keputusan seri 1-1 selepas Nattanan Biesamrit meledak gol Nakhon Pathom pada minit ke-32.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Boonyachinda itu menjadi penampilan sulung Cheng Hoe bersama Police Tero selepas dia diumumkan sebagai jurulatih baharu kelab itu, Khamis lalu.

Cheng Hoe membuat kejutan apabila meninggalkan Selangor dan menyertai Police Tero yang berada di kedudukan ketiga terbawah Liga 1 Thailand.

Police Tero hanya mengumpul 20 mata hasil daripada lima kemenangan, lima kali seri dan tewas 10 kali dalam 20 perlawanan setakat ini.

Tindakan Cheng Hoe berpisah dengan Selangor turut mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat terutama selepas dia berjaya membawa Gergasi Merah meraih gelaran naib juara Liga Super musim lalu dan layak ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2.