sukan

Rashford bidas kritikan melampau

Marcus Rashford berkata dia boleh menerima sebarang tajuk berita tetapi meminta pengkritiknya untuk lebih berperikemanusiaan sebelum mempersoalkan komitmennya terhadap Manchester United dan bola sepak.

Penyerang England itu bergelut musim ini, menjaringkan hanya lima gol untuk kelab – berbanding rekod tertingginya 30 gol musim lalu untuk United.

Rashford turut mendapat kritikan kerana tingkah lakunya di luar padang.

Laporan pada akhir Januari mengatakan Rashford berhibur di sebuah kelab malam di Belfast sebelum terlepas sesi latihan bersama United.

Namun Rashford berkata dia juga berhak mempertahankan dirinya dengan menceritakan keadaan sebenar.

“Biasanya saya boleh mengabaikan bunyi-bunyi bising itu. Tetapi ada masanya, ia melampaui batas, dan saya hanya mahu orang ramai memahami diri saya sebagai manusia biasa.

“Mereka (media) bukan menulis tentang saya sebenarnya. Ia seperti mereka menulis tentang watak ini, ‘Marcus Rashford’. Ia bukan hanya berkenaan seorang lelaki berusia 26 tahun keluar malam, atau seorang lelaki yang mendapat saman tempat letak kereta.

“Ia pastinya tentang berapa harga kereta saya, jumlah gaji mingguan saya, barang kemas saya atau tatu saya. Ia berkenaan bahasa tubuh saya, mempersoalkan moral saya, dan membuat spekulasi tentang keluarga serta masa depan bola sepak saya.

“Ada nada tersendiri terhadap cerita-cerita saya yang tidak berlaku kepada pemain-pemain bola sepak lain,” kata Rashford.

Menurut Rashford, dia merasakan kebanyakan kritikan terhadapnya berpunca daripada kempen berprofil tinggi dilancarkannya bagi menangani masalah pemakanan kanak-kanak ketika pandemik COVID-19.

“Entah kenapa ia membuatkan sesetengah orang marah. Ia seperti mereka menanti untuk saya melakukan kesilapan dan kemudian menuding jari serta berkata, ‘Lihat? Siapa diri dia yang sebenarnya?’

“Saya bukan seorang yang sempurna. Apabila saya melakukan kesilapan, saya akan mengakuinya dan akan cuba menjadi lebih baik.

“Tetapi jika anda mempersoalkan tentang komitmen saya terhadap Manchester United, saya perlu mempertahankan diri,” katanya.

sumber:- BH

Penyerang United itu menggesa peminat-peminat United untuk terus positif walaupun pasukan mengharungi musim kurang memberangsangkan. – AFP