sukan

Kedah Darul Aman FC boleh tarik nafas lega

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) boleh menarik nafas lega apabila bakal keluar dari kemelut isu tunggakan gaji musim 2023 apabila memaklumkan sudah mendapat kelulusan pembiayaan dana bagi tujuan penyelesaikan tunggakan.

Menerusi hebahan rasmi yang dimuatnaik Sang Kenari, pengurusan pasukan itu mengambil tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam menangani isu berbangkit terutamanya aspek kelestarian kewangan dengan ketelusan dan rasa tanggungjawab.

Jelas pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin, isu itu akan diselesaikan.

“Dalam perkembangan terkini pengurusan KDA FC yang diketuai Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah mendapat kelulusan pembiayaan dana dari institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan tersebut.

“Namun, dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal bulan April.

“Pihak pengurusan KDA FC telah menerima makluman dari Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) bahawasanya KDA FC diberikan tempoh sehingga 5 Mac 2024 sebagai tarikh akhir penyelesaian gaji tertunggak bagi tahun kewangan 2023 iaitu sebelum Mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) MFL pada 6 haribulan Mac 2024.

“Rentetan dari kekangan untuk memenuhi keperluan sebelum tarikh akhir penyelesaian yang diputuskan, KDA FC sedang bertungkus lumus mendapatkan dana pendahuluan.

“Ia bagi tujuan pembayaran segera kepada semua pemain dan pegawai semua pasukan KDA FC yang bertanding dalam Liga Malaysia, serta staf pentadbiran kelab,” katanya.

Meskipun kelab bergelut dengan isu kewangan musim lepas, pihak pengurusan KDA FC tetap fokus dalam melakukan segala persiapan pasukan untuk musim 2024-2025.