sukan

Jangan sampai ‘hanyut’

Kejayaan jaringan pemain negara, Faisal Halim diangkat sebagai Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 sememangnya satu pencapaian yang memberangsangkan namun itu tidak seharusnya membuatkan kita terus berada di ‘awang-awangan’.

Peringatan itu dilontarkan pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang mengakui jaringan itu menterjemahkan semangat ‘Malaysia Boleh’ namun ada banyak lagi ‘kerja’ yang perlu dilakukan bagi memastikan taraf bola sepak negara terus berkembang.

Tegasnya yang juga Instruktor Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), jaringan itu sepatutnya menjadi motivasi terbaik bukan sahaja buat Faisal malah semua pemain skuad Harimau Malaya yang akan meneruskan perjuangan di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.

“Ini selari dengan semangat Malaysia Boleh di mana ada orang mendaki Gunung Everest, menyeberangi Selat Inggeris, pergi ke Kutub Utara dan semangat itu pun ada dalam diri pemain bola sepak.

“Ini membuatkan pemain kita tidak rendah diri dan mampu mencabar pasukan di ranking yang lebih tinggi. Saya lihat ini satu perkembangan positif walaupun jaringan itu bukanlah dipilih pakar teknikal AFC tetapi daripada undian orang biasa.

“Cuma jangan sampai kejayaan ini buat kita ‘hanyut’ dan rasa kita sudah terlalu hebat, sudah cukup bagus. Jauh lagi perjalanan kita tetapi ini satu permulaan yang baik dan ia memberikan satu suasana yang baik dalam kem Harimau Malaya.

“Mereka perlu terus bekerja keras dan untuk dua aksi pada Mac nanti, inilah masanya untuk mereka terus tunjukkan kehebatan mereka serta sebagus mana kemampuan yang mereka ada,” kata Zulakbal.

Terdahulu, AFC mengesahkan gol pemain sayap itu sebagai Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 selepas menerima 85 peratus undian dan kemenangan itu sememangnya sudah dijangka memandangkan jaringan itu mendahului undian sejak awal ia dibuka.

sumber:- BH

Peratusan itu jauh meninggalkan pencabar terdekat, Mousa Al Tamari dari Jordan yang sekadar menerima sembilan peratus undian sementara tempat ketiga menjadi milik pemain Korea Selatan, Son Heung Min dengan tiga peratus.