sukan

JDT sambar empat pemain sekali gus

Status pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Manuel Hidalgo akhirnya terjawab selepas kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan pemain berkenaan menandatangani kontrak bersama juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Alistair Edwards menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers.

Edwards turut mengesahkan pemain adik-beradik yang beraksi bersama Kuala Lumpur City FC, (KL City FC), Declan Lambert dan Ryan Lambert turut menyertai skuad Harimau Selatan dan termasuk pemain Terengganu FC (TFC), Azam Azmi.

Bagaimanapun, keempat-empat pemain baharu JDT itu akan dipinjamkan untuk mengharungi kempen Liga Malaysia musim 2024 dan 2025 yang bakal menyingkap tirainya Mei depan.

“JDT telah menandatangani Azam (Azmi), Manuel (Hidalgo), Declan dan Ryan Lambert. Kami juga dalam perbincangan untuk menandatangani seorang penjaga gol.

“Azam dan Declan masing-masing dipinjamkan kepada Terengganu FC manakala Manuel pula akan dipinjamkan kepada Sri Pahang FC bagi mengharungi kempen Liga Super musim ini.

“Kedudukan Ryan akan berlatih bersama pasukan JDT dan belum ada keputusan lagi sama ada dia akan dipinjamkan atau diserapkan dalam skuad JDT pada musim baharu liga nanti,” kata Edwards dalam kenyataan itu.

sumber:- BH

Sebelum ini, JDT sudah mengikat beberapa pemain import seperti Jalil Elias, Murilo Henrique selain mengekalkan Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Heberty Fernandes dan Juan Muniz bagi menguatkan skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Super dan aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).