sukan

Haaland mengamuk bedal Luton

Penyerang Manchester City, Erling Haaland meledak lima gol ketika penyandang juara Piala FA Inggeris itu berpesta gol membelasah Luton Town 6-2 pada pusingan kelima awal pagi tadi.

Ia kali kedua Haaland menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan bersama City selepas aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig pada Mac 2023.

Dibantu dengan tiga umpanan gol Kevin De Bruyne, Haaland melengkapkan hatriknya dalam tempoh 40 minit pertama di Kenilworth Road.

Jordan Clark menyumbat dua gol untuk mengurangkan defisit Luton kepada 3-2 buat seketika.Namun sebarang impian Luton untuk melakukan kebangkitan mengagumkan dinafikan oleh Haaland apabila penyerang Norway itu menokok dua gol lagi selepas rehat untuk mengemudi kemaraan City ke suku akhir.

Mateo Kovacic menambah gol terakhir untuk melengkapkan kemenangan kedua menerusi enam gol City musim ini selepas mereka membelasah Bournemouth 6-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada November lalu.

Haaland kini mengumpul 27 gol dalam semua pertandingan musim ini sekali gus menepis kritikan yang dilemparkan terhadapnya selepas gagal menyudahkan deretan peluang ketika seri dengan Chelsea baru-baru ini.

Menyanjung peranan De Bruyne ketika membenam cabaran Luton, Haaland berkata: “Kevin terlalu bagus. Seronok bermain di sampingnya. Kami tahu apa yang kami mahukan antara satu sama lain.

“Dia melakukan apa yang terbaik. Ia benar-benar menjadi. Dia seorang pemain yang pintar.”

Mengenai prestasinya sendiri sejak kembali daripada kecederaan kaki yang menyaksikannya terpaksa berehat dua bulan, Haaland menambah: “Saya kembali ke tahap terbaik saya. Akhirnya saya berasa bagus.

“Ia satu perasaan yang mengagumkan. Ia kembali, kami kembali. Masa-masa menarik menanti kami. Kami sedia untuk menyerang.”

City menang 14 daripada 15 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan ketika mereka berusaha menyamai pencapaian treble musim lalu dengan memenangi EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Haaland dan De Bruyne mempamerkan persembahan memukau tepat pada masanya menjelang pertembungan genting EPL Ahad ini menentang Manchester United di Stadium Etihad.

sumber:- BH

Satu-satunya kekecewaan diharungi City adalah kecederaan dialami Jack Grealish pada babak pertama, tamparan terbaharu dalam musim yang mengecewakan buat pemain sayap England itu. – AFP