sukan

Pengendali baharu sah jadi pengganti

Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) memilih Hwang Sun-hong, jurulatih pasukan bawah 23 tahun, sebagai ketua jurulatih sementara pasukan kebangsaan untuk membuat persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026 akan datang.

Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan, badan penasihat KFA, mencari pengganti selepas memecat Juergen Klinsmann ekoran tersingkir di separuh akhir Piala Asia dan kritikan terhadap kepimpinannya.

Sun Hong, 55, mengemudi pasukan bawah 23 tahun untuk meraih emas di Sukan Asia Hangzhou 2022, dan juga ahli skuad Piala Dunia 2002 yang mara ke separuh akhir di laman sendiri di bawah bimbingan jurulatih Belanda, Guus Hiddink.

Sun Hong adalah pilihan utama berdasarkan pengalamannya dan beliau akan meneruskan peranannya bersama pasukan bawah 23 tahun selepas mengemudi pasukan kebangsaan melalui dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Thailand pada Mac, kata Jung Hae-sung, yang mengetuai jawatankuasa itu.

“Jawatankuasa kami, dalam pada itu, akan mengadakan perbincangan mendalam untuk melantik jurulatih sepenuh masa, mengkaji jenis bola sepak yang ingin kami kejar dan gaya jurulatih yang kami perlukan,” kata Hae Sung.

KFA memecat Klinsmann berikutan kekalahan Korea Selatan di peringkat separuh akhir Piala Asia yang melanjutkan penantian 64 tahun mereka untuk gelaran ketiga dan mencetuskan semula kritikan terhadap kepimpinan jurulatih Jerman itu.

Sun Hong akan memegang dua tugas sebagai jurulatih pasukan kebangsaan dan turut menyediakan skuad bawah 23 tahun ke Piala Asia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, bermula April ini di Qatar.

sumber:- HM

Beliau juga perlu mengawal pergaduhan dalam skuad kebangsaan selepas pertengkaran yang dimaklumkan antara kapten Son Heung-min dari Tottenham Hotspur dan rakan sepasukan, Lee Kang-in dari Paris St Germain.