sukan

Komen Tuchel selepas dipecat tarik perhatian

Jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel berkata bukan hanya dia seorang bertanggungjawab terhadap persembahan buruk pasukannya dan berharap keputusan kelab berpisah dengannya pada penghujung musim akan membebaskan dia dan pemain bagi baki kempen kali ini.

Minggu ini kelab dari Bavaria itu mengambil keputusan berpisah dengan Tuchel pada penghujung kempen walaupun masih ada kontrak hingga 2025 selepas tiga kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Bayern, yang menang semua 11 gelaran liga sebelum ini, berkedudukan kedua dalam Bundesliga, lapan mata di belakang pendahulu, Bayer Leverkusen.

“Tidak kisah sama ada saya faham dengan keputusan kelab atau saya gembira dengannya,” kata Tuchel dalam sidang akhbar menjelang pertemuan dengan RB Leipzig dalam aksi Bundesliga.

“Perkara paling penting ketika ini ialah adanya sesuatu yang jelas. Ia membawa kebebasan dan ia bagus untuk perlawanan dan latihan.”

“Kebebasan buat jurulatih untuk bertindak. Anda perlu memikirkan kesan jangka panjang akibat pilihan anda,” katanya. “Anda boleh sedikit gopoh.”

Bayern tersingkir daripada saingan Piala Jerman di tangan kelab divisyen tiga, Saarbruecken selain tewas 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara kepada Lazio minggu lalu.

“Saya tidak rasa hanya saya menjadi masalah tetapi saya menerima tanggungjawab saya. Saya tidak gembira dengan cara kami bermain dan tidak gembira sejak beberapa ketika.

sumber:- BH

“Kini kami ada situasi yang baharu tetapi ia sudah diselesaikan dan kami berkomunikasi, tapi saya tidak rasa ia hanya masalah disebabkan saya,” katanya. – REUTERS