sukan

Lawan Malaysia bertaraf bintang

Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara berkemungkinan akan mengharungi sekurang-kurangnya enam aksi persahabatan sebagai persiapan ke Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan skuad negara bakal berdepan India dalam aksi persahabatan manakala dua lagi aksi akan diumumkan kelak.

Beliau berkata, aksi berkenaan akan berlangsung di Lembah Klang dalam tempoh kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), bulan depan.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk mengadakan aksi persahabatan buat skuad kendalian Juan Torres Garrido di Qatar termasuk berdepan tuan rumah dan dua lagi aksi yang salah satunya mungkin menentang Jepun.

“Pasukan akan bermain dua atau tiga perlawanan (persahabatan) di sini (Malaysia) sebelum kita pergi awal ke Qatar. Kita akan lawan Qatar dan dua lagi mungkin akan berdepan Jepun atau pasukan lain di Qatar.

“Kita akan hantar pasukan awal ke Qatar kerana mereka perlu sesuaikan diri dengan cuaca dan perbezaan masa di sana,” katanya.Pada Piala Asia B-23 yang akan berlangsung 15 April hingga 3 Mei depan, skuad B-23 negara diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

Selain itu, Hamidin menganggap layak ke suku akhir menjadi sasaran realistik buat pasukan negara di Piala Asia B-23 meskipun mengakui menyimpan impian besar untuk melihat anak buat Garrido layak ke Olimpik Paris.

Beliau berkata, semua pihak harus sedar bahawa beberapa pasukan gergasi seperti Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi menjadi pasukan pilihan utama.

“Sebagai Presiden FAM, kalau kita dapat masuk ke Olimpik Paris ia satu kejayaan kerana kita perlu ingat untuk skuad senior kejohanan paling besar adalah masuk Piala Dunia, skuad B-23 pula adalah ke Olimpik.

sumber:- BH

“Tetapi dalam hati sebagai Presiden FAM, kalau layak (ke Olimpik) saya rasa macam sudah masuk Piala Dunia kerana ia adalah seperti Piala Dunia B-23,” katanya.