sukan

Demi selamatkan Liga M

Kegagalan beberapa pasukan menyelesaikan isu tunggakan gaji biarpun saingan musim lalu sudah lama berakhir, situasi itu nyata menghadirkan kebimbangan menjelang kempen baharu Liga Malaysia (Liga M) Mei ini.

Lantas ‘barah’ itu perlu segera diatasi dengan satu garis panduan baharu dikeluarkan sebelum sepak mula kempen 2024-2025 bermula tiga bulan lagi.

Justeru, pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) yang dijanjikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini harus diwartakan segera bagi mengurangkan risiko tunggakan gaji berlaku pada musim ini.

Begitupun, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berharap FFP yang akan diadakan nanti perlulah bersifat menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak kepada pasukan, kesan kepada pemilik dan nilai komersial yang boleh diraih.

“FFP ini saya lihat ada pro dan kontranya, dari satu sudut ia cukup baik dalam usaha menangani isu tunggakan gaji agar pasukan tidak dibelenggu masalah hutang.

“Tapi dalam satu sudut, FFP juga satu garis panduan yang amat ketat dan boleh memberi kesan kepada perjalanan Liga M. Misalnya, jika ia diwujudkan saya kira tak banyak pasukan akan melepasi syarat bermain dalam liga.

“Jadi kajian menyeluruh perlu dilakukan sebaiknya demi kebaikan semua pihak terutamanya pemegang taruh,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan keluhan beberapa pemain babitkan dua pasukan iaitu Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC mengakui masih tidak menerima tunggakan gaji yang sangkut sejak September dan Oktober lalu.

Ada antara pemain di kelab terbabit terpaksa bekerja sambilan di restoran serta kantin, selain ada yang menyamakan diri mereka seperti pengemis yang terpaksa meminta-minta tunggakan gaji kepada pihak pengurusan.

Sebelum ini, Arena Metro pada Ogos tahun lalu melaporkan pelaksanaan FFP dalam Liga M musim bukan untuk menyekat perbelanjaan setiap pasukan tetapi ia adalah panduan perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan tiadanya isu tunggakan gaji.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya bakal mengumumkan FFP pada musim ini kepada semua pasukan bagi merancang perbelanjaan sebelum liga bermula pertengahan 2024.

Akhbar ini melaporkan kewujudan FFP dilihat mampu mengelak krisis lebih besar dalam saingan Liga M khususnya aspek kemampanan kewangan pasukan bertanding.

Untuk rekod, FFP adalah satu mekanisme kawalan ke atas perbelanjaan kelab untuk memastikan akaun kelab kekal sihat daripada hutang melampau.

Di Eropah misalnya, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menekankan dua elemen penting dalam FFP iaitu pertama, semua kelab wajib meletakkan paras gaji setiap pemain di bawah paras 70 peratus (%) daripada pendapatan kelab, di mana gaji pemain ini tertakluk di bawah hutang keseluruhan.

Manakala perkara kedua adalah hutang keseluruhan kelab tidak melebihi 80 peratus daripada pendapatan kelab bagi menjamin kelancaran pengurusan untuk sepanjang musim.

sumber:- HM

Malah, kelab juga wajib membentangkan modal dan pendapatan sebelum berbelanja dengan perancangan musim hadapan perlu dibentangkan sebelum musim semasa berakhir.