sukan

Bintang United lakar sejarah EPL

Rasmus Hojlund mencipta sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika dua gol penyerang Manchester United itu memastikan pasukannya menangani ancaman daripada kelab bawahan Luton sebelum menang 2-1 awal pagi semalam.

Hojlund muncul pemain paling muda menjaringkan gol dalam enam perlawanan EPL berturut-turut selepas meledak dua gol dalam tempoh tujuh minit pertama di Kenilworth Road.

Pada usia 21 tahun 14 hari, Hojlund mengatasi rekod terdahulu milik pemain tengah Newcastle, Joe Willock ketika dia berusia 21 tahun 272 hari.

Ruud van Nistelrooy menyumbat gol dalam 10 perlawanan berturut-turut buat United di liga utama pada 2003 sebelum penyerang Leicester, Jamie Vardy mengatasi rekod EPL itu dengan 11 berturut-turut pada 2015.

Sesudah gagal untuk menyumbat gol dalam 14 penampilan pertamanya di EPL susulan perpindahan dari Atalanta Ogos lalu, Hojlund sudah menjaringkan lapan gol dalam lapan perlawanan terakhirnya bagi semua pertandingan.

Dua golnya patut meletakkan United dalam keadaan selesa namun Luton bangkit memukau ketika Carlton Morris pantas mengurangkan defisit.

Pasukan kendalian Erik ten Hag itu berdepan detik cemas beberapa kali selain mensia-siakan beberapa peluang untuk menamatkan cabaran pasukan keempat tercorot Luton pada minit-minit akhir yang mendebarkan.

Memuji mentaliti Hojlund, Ten Hag berkata: “Kami merekrutnya kerana karakternya, saya tahu ia kuat.

“Dia benar-benar boleh beraksi baik di bawah tekanan dan ia sesuatu yang anda perlukan daripada seorang penyerang Manchester United.

“Dia tidak gemuruh atau hilang keyakinan. Dia mempunyai keyakinan yang tinggi dan saya yakin dia akan menjaringkan lebih banyak gol lagi.”

Hojlund menambah: “Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih kerana mereka tetap percaya terhadap saya.

“Saya tahu saya boleh menjaringkan gol tetapi sudah tentu saya berasa janggal tidak menyumbat gol dalam Liga Perdana.”

Kemenangan keempat berturut-turut pasukan tangga keenam United dalam liga melonjakkan mereka lima mata di belakang pasukan tangga keempat Aston Villa dalam perebutan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Bagi tempoh yang lama sepanjang satu musim yang bermasalah, sasaran itu dilihat sukar dicapai oleh United tetapi prestasi prolifik Hojlund memberikan mereka harapan baharu.

sumber:- BH

“Kami kembali dalam perebutan dan kami membina momentum. Kami perlu mencipta tekanan. Setiap perlawanan adalah final untuk berpeluang merapatkan diri dengan pasukan lain,” kata Ten Hag. – AFP