sukan

Jangan pertikai sebab Pan Gon pilih JDT

Semua pihak tidak seharusnya mempertikai mengapa ramai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pilihan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.

Corak latihan dan teknologi tinggi yang dimiliki kelab itu menjadi antara faktor penyumbang terbesar kepada pembentukan pemain Harimau Selatan untuk meletakkan mereka pada tahap lebih tinggi berbanding pemain kelab lain.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim menyifatkan pemain JDT memiliki kemahiran individu yang tinggi kesan daripada latihan yang mereka jalani bersama juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.

Beliau yang juga bekas pengurus pasukan Selangor berkata, faktor itu memudahkan tugas Pan Gon untuk membentuk skuad terbaik buat Harimau Malaya mengharungi aksi peringkat antarabangsa.

“Pemain JDT dilatih dengan teknologi tinggi berbanding pasukan lain. Betul, TFC (Terengganu) juga masuk final Piala Malaysia, tetapi kemampuan individu (pemain mereka) tak sama taraf dengan JDT.

“Itu kelebihan JDT, jadi jangan pertikaikan kenapa pemain JDT (ramai dalam skuad kebangsaan) sebab mereka dijaga dengan bagus. Walaupun mereka ambil pemain bagus masuk JDT, tetapi apabila masuk JDT pemain itu akan jadi lebih bagus.

“Marah macam mana sekali pun kita kena hakikat, teknologi JDT dari segi latihan memang bagus dan boleh saya katakan taraf fasiliti atau peralatan mereka lebih tinggi daripada pasukan kebangsaan.

“Untuk nak kuatkan pasukan kebangsaan mestilah datang dari pemain yang dibangunkan atau dilatih oleh kelab. Kalau kelab latih dengan baik dan teknologi yang bagus, ia akan membantu pasukan kebangsaan.

“Sebab itu mereka semua banyak diambil dari JDT. Namun, bagusnya TFC dari segi kestabilan mereka yang mana mereka mampu bayar pemain dan pemain bersemangat walaupun gaji tak sebesar pemain JDT,” katanya.

Berdasarkan senarai 26 pemain yang dipertaruhkan Pan Gon ketika Piala Asia 2023 di Qatar, separuh daripadanya terdiri daripada pemain JDT.

Malah, dengan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 hanya akan bermula Mei depan, sebahagian besar skuad itu dijangka dikekalkan bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan depan.

sumber:- BH

Harimau Malaya akan mengharungi aksi ketiga Kumpulan D berdepan Oman di gelanggang lawan pada 22 Mac sebelum menanti pasukan ranking ke-80 dunia itu di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.