sukan

Haaland bengang, lepas geram pada jurukamera

Penyerang Manchester City Erling Haaland jelas sekali bengang terhadap persembahannya apabila menolak satu kamera televisyen selepas wisel penamat awal pagi tadi, sekali gus terpancar kekecewaan selepas sembilan percubaan namun tiada satu pun menerjah jaring.

Tindakan terbabit juga mengejutkan banyak pihak kerana kali pertama pemain terbabit berbuat demikian sepanjang tempoh kariernya bersama Manchester City.

Rodri menjaringkan gol penyamaan lewat perlawanan untuk memastikan seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri menentang Chelsea sekali gus mengelak kekalahan pertama di Etihad dalam tempoh 15 bulan.

“Ia bagus, bagus untuk melakukan sembilan percubaan,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

“Perlawanan berikutnya dia akan menjaringkan gol. Saya bekas pemain bola sepak, saya beraksi 11 tahun, saya menjaringkan 11 gol. Satu gol satu musim. Ia bola sepak, dia manusia biasa.”

Ketika pemain berkumpul di tengah padang selepas wisel penamat, Haaland menolak ke tepi satu kamera TV siaran langsung yang memfokuskan ke arah muka penyerang itu.

Haaland, yang mencipta sejarah dalam penampilan sulung EPL musim lalu, meneruskan prestasi prolifiknya sebelum kecederaan kaki menyebabkannya terpaksa berehat hampir dua bulan.

Dia menjaringkan dua gol ketika City menang 2-0 ke atas Everton hujung minggu lalu untuk merampas kedudukan sebagai pendahulu penjaring gol terbanyak liga dengan 16 gol.

City kekal di tangga ketiga liga dengan 53 mata, empat mata di belakang Liverpool dan dua di belakang Arsenal, tetapi beraksi kurang satu perlawanan.

Mereka boleh melonjak ke tangga kedua jika menang ke atas Brentford awal pagi Rabu ini.

Penyerang Norway berusia 23 tahun itu kelihatan kecewa sepanjang perlawanan, melakukan dua tandukan yang melepasi palang sebelum merembat voli yang tersasar sedikit.

sumber:- HM

Peluang terbaiknya hadir menerusi tandukan jarak dekat ketika tidak dikawal pada hujung perlawanan tetapi sayangnya ia melepasi palang.