sukan

‘Saya hormati perjanjian itu’ – Safawi

Sekalipun tidak dapat beraksi menentang bekas pasukannya, Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana terikat dengan ‘gentlemen’s agreement’, Safawi Rasid tetap menghormati perjanjian itu.

Jelas tonggak baharu Terengganu FC (TFC) berusia 27 tahun itu, perjanjian budiman antara kedua-dua pihak pengurusan itu perlu dipatuhi dan diterima dengan hati yang terbuka.

“Perkara itu (tidak dapat beraksi menentang bekas pasukannya) sudah ada perjanjian dengan kedua-dua belah pihak pengurusan pasukan.

“Jadi saya sebagai pemain perlu menghormati keputusan itu sebagaimana yang terkandung dalam kontrak,” kata pemain sayap itu ketika ditemui pada sesi latihan di Pusat Latihan TFC, Gong Badak kelmarin.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas memaklumkan dua tonggak JDT iaitu Safawi dan Akhyar Rashid yang menyarung jersi skuad itu selama semusim tidak dapat beraksi menentang bekas pasukannya itu kerana berstatus sebagai pemain pinjaman.

Dalam pada itu pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Pawi’ itu menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan pada musim pertamanya bersama pasukan negeri kelahirannya itu.

Pemain kebangsaan itu juga mahu meletakkan skuad Penyu antara kelab yang terbaik dalam kancah Liga M pada musim ini biarpun sedar laluan tetap berliku kerana pasukan lain juga turut mengidam status yang sama.

sumber:- HM

“Saya gembira kerana bakal beraksi bersama pasukan kelahiran, kami akan berikan yang terbaik untuk meningkatkan lagi pencapaian TFC agar lebih baik berbanding pada musim lalu.