sukan

Akhyar akui berat hati

Bekas tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid mengakui berat hati untuk meninggalkan kelabnya itu musim ini.

Bagaimanapun jelas pemain kelahiran Kedah berusia 25 tahun itu, demi minit permainan, dia perlu membuat keputusan melangkah bersama pasukan lain bagi memastikan prestasi permainannya terus meningkat.

“Sejujurnya hati saya begitu berat untuk tinggalkan JDT yang mempunyai fasiliti yang lengkap di tambah kejayaan yang begitu membanggakan dalam Liga Malaysia (Liga M) selain di pentas Asia.

“Namun demi minit permainan, selain jurulatih menyarankan saya untuk keluar bersama pasukan lain secara pinjaman, jadi saya terpaksa melangkah pergi untuk mencari angin baharu.

“Lagipun umur saya sudah 25 tahun, saya perlu tingkatkan lagi prestasi permainan dari setahun ke setahun bagi memastikan terus kekal konsisten,” ujar pemain sayap itu ketika ditemui pada sesi latihan di Pusat Latihan TFC, Gong Badak, kelmarin.

Ketika ditanya kenapa memilih TFC sebagai destinasinya, pemain yang pernah berguru di England bersama kelab Cardiff City ketika berusia 15 tahun itu menjelaskan skuad Penyu tidak kurang hebatnya terutama selepas muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

“Sebenarnya saya sendiri yang nak datang ke Terengganu selepas dilepaskan secara pinjaman oleh JDT, saya nampak pasukan ini lengkap di setiap posisi ditambah kehadiran rakan sepasukan, Pawi (Safawi) dalam pasukan TFC ini.

“Malah keluarga juga tidak halang sebaliknya memberi galakan supaya menyarung jersi TFC, jadi Alhamdulillah saya diterima menjadi salah seorang pemain dalam pasukan ini, terima kasih pihak pengurusan TFC.

sumber:- BH

“Insya-Allah saya bersama rakan sepasukan akan cuba yang terbaik untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya merangkul satu trofi kejuaraan pada musim ini,” ujar pemain yang pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu.