“Jika boleh tunggu selama bertahun kenapa tidak boleh berikan saya masa hanya beberapa minggu untuk menyelesaikan bayaran tunggakan gaji terbabit.”
Itu permintaan bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United, Datuk Seri Dr Feardaus Khairuddin yang berharap barisan pemain pasukan terbabit memberikan tempoh masa untuk membuat pembayaran kerana terdapat beberapa masalah berkaitan urusan pengeluaran wang.
Malah, beliau juga turut menambah kira-kira RM500,000 daripada keseluruhan tuntutan berjumlah RM1 juta sebagai saguhati kerana bekas pemain terbabit terpaksa menunggu dalam tempoh lama untuk mendapatkan hak mereka dan ia sudah direkodkan di mahkamah sebagai tanda kesungguhannya.
Feardaus berkata, beliau tidak pernah bersembunyi atau melarikan diri selain turut hadir tanpa gagal ke mahkamah dan wakil dari pemain juga hadir menjadi saksi bahawa saya hadir ke mahkamah dalam usaha menyelesaikan isu terbabit yang sudah membelenggu sejak beberapa tahun lalu.
“Saya juga sudah membuat pembayaran awal pada tahun lalu berjumlah RM100,000 dan bersedia untuk membayar selebihnya termasuk imbuhan berjumlah RM1.5 juta.
“Cuma sekarang ini, wang tak dapat dikeluarkan kerana beberapa kekangan daripada pihak bank. Saya sudah desak dan tekan pihak bank untuk menyelesaikan urusan pengagihan wang secepat mungkin.
“Namun, pihak bank perlu mengikut prosedur yang sudah ditetapkan menyebabkan saya meminta tempoh sehingga urusan terbabit dapat dilaksanakan.
“Terus terang saya katakan tiada masalah untuk membuat pembayaran terbabit seperti diarahkan pihak mahkamah. Cuma jika saya dipenjarakan mungkin masalah ini akan menjadi semakin rumit,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan bekas pemilik Kelab Kuantan FA serta Marcerra United yang bergelar Datuk Seri menjadi individu pertama dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M) ‘dihumban’ ke penjara selepas gagal melunaskan baki tunggakan kepada bekas pemain pasukan itu sekali gus dikenakan hukuman selama tujuh hari di Penjara Sungai Buloh.
Peguam bela yang mewakili 47 pegawai dan pemain pasukan berkenaan, Suhail Rahimi Abdul Razak berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan arahan untuk Datuk Seri itu menyelesaikan jumlah baki RM1.5 yang dipersetujui daripada jumlah keseluruhan RM3 juta pada 29 Januari bulan lalu.
Namun, mahkamah memberi ‘masa tambahan’ sehingga 9 Februari lalu tetapi individu berkenaan gagal menyelesaikannya. Disebabkan itu, pihak mahkamah sudah mengeluarkan satu waran tangkap kepada Datuk Seri berkuat kuasa pagi ini, 13 Januari.
Jelasnya, ini adalah kes saman sivil yang pertama dalam sejarah bola sepak di Malaysia yang membabitkan pemilik kelab yang culas membayar gaji kepada pemain mereka.
Sementara itu, difahamkan Feardaus dikenakan hukuman terbabit mengikut undang-undang saman komital iaitu gagal patuh perintah mahkamah penghakiman secara melampau.
Jika gagal membuat bayaran atau menjelaskan tuntutan terbabit boleh dikenakan hukuman penjara seperti yang ditetapkan mahkamah.