sukan

TFC jawab status Manuel Ott dan Brendan Gan

Terengganu FC (TFC) tidak ada perancangan untuk mengikat dua pemain tengah, Manuel Ott dan Brendan Gan dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, dua ‘arkitek’ itu tiada dalam radar pasukan setakat ini.

“Dua pemain itu (Brendan dan Ott), tiada dalam perancangan pasukan TFC pada musim ini biarpun ada peminat menyuarakan pandangan supaya mengambil pemain itu.

“Lagipun pihak kami menyerahkan kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Tommy (Tomislav Steinbruckner) dan pembantunya, Badrul Afzan Razali untuk memilih pemain yang dimahukan.

“Pada masa sama pihak pengurusan kini perlu melakukan perbelanjaan yang lebih berhemah selepas kekangan bajet pada musim 2024/2025 ini,” kata Mohd Sabri.

Terdahulu peminat setia skuad itu mahukan pihak pengurusan TFC mengambil semula Ott yang juga bekas tonggak import TFC pada musim 2022 sebelum berhijrah bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim lalu.

Manakala Brendan yang juga pemain tengah kebangsaan selain kapten skuad Gergasi Merah dilepaskan bekas pasukannya, Selangor FC awal bulan ini bersama penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ayron Del Valle.

Terkini, TFC mengekalkan tiga tonggak import musim lalu iaitu Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan), Ivan Mamut (Croatia) manakala pertahanan kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic yang masih menunggu status pemain naturalisasi.

sumber:- HM

Dua lagi pemain import iaitu bekas penyerang Kelantan United FC (KU FC) musim lalu, Ismaheel Akinade dan bekas pertahanan kelab Pakhtakor Tashkent FC dalam Liga Uzbekistan, Matthew Steenvoorden dalam proses dokumentasi.