sukan

Pep Guardiola Terkejut dengan Haaland

Ketika pengurus Manchester City, Pep Guardiola sering kali berkata tiada apa yang mengejutkannya mengenai peledak gol berbisa Erling Haaland, pengurus itu agak terkejut melihat penyerangnya kembali berada dalam senarai penjaring lebih awal selepas berehat lama kerana kecederaan.

Bintang Norway berusia 23 tahun itu, yang terlepas hampir dua bulan kerana patah tulang di kakinya, menyumbat dua gol ketika City menang 2-0 ke atas Everton malam tadi.

Haaland tidak menjaringkan gol sejak 28 November lalu. Dia cedera di kaki pada 6 Disember menentang Aston Villa dan tidak turun beraksi hinggalah menentang Burnley pada 31 Januari lalu.

“Saya tidak boleh bayangkan dua bulan dia berehat dan menggerakkan badan besarnya serta kembali cergas sekali lagi, tetapi dia kini kembali. Saya fikir dia akan membantu,” kata Guardiola.

“Saya beritahunya supaya positif dan situasi akan hadir. Gol pertama agak cuai tetapi penyudahnya menakjubkan dan penamat bagi gol kedua turut luar biasa.

“Ia benar-benar penting buat kami, mempunyai Erling kembali bersama kami.”

Dengan gol ke-15 dan 16 musim ini malam tadi, penyerang itu juga kembali merampas kedudukan pendahulu penjaring terbanyak liga secara bersendirian.

Kevin De Bruyne, kembali daripada pembedahan hamstring baru-baru ini yang menyebabkan tonggak tengah itu direhatkan selama lima bulan, mengumpan gol kedua Haaland dan kedua-dua pemain itu kelihatan seperti mereka tidak terlepas apa-apa – berita buruk buat pasukan lain yang bersaing merebut kejuaraan.

Haaland dan rakan sepasukannya dikecewakan Everton sebelum akhirnya dia memecah kebuntuan dengan percubaan pertama menemui sasaran pada minit ke-71.

sumber:- BH

“Dia perlu positif sepanjang masa. Bukan kerana kami tidak mahu mencipta peluang sepanjang masa. Kadang-kadang gerakannya bagus tetapi kami tidak mampu melakukannya,” kata Guardiola. – REUTERS