sukan

Nelson San Menangis

Legenda zaman ‘double treble’ Kedah, Nelson San Martin tidak dapat menahan rasa sedihnya apabila mendapat khabar pemergian jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah, semalam.

Sebaik mendapat khabar duka itu, legenda import yang kini menetap di Chile bersama keluarganya itu terus meluahkan perasaan sedihnya dengan menghubungi rakan rapatnya iaitu pengurus skuad Bawah 23 tahun KDA FC, Amirul Nizam Mahadzir yang ketika itu berada di hospital semasa urusan membawa pulang jenazah Allahyarham ke rumah.

“Setelah menerima berita pemergian Allahyarham Azraai, Nelson terus menghubungi saya dan isteri Allahyarham untuk ucap takziah dan daripada suaranya ketika bercakap dengan saya, dapat dirasakan beliau cukup terkesan sambil menangis selepas menerima berita cukup mengejut ini.

“Nelson menganggap Allahyarham Azraai sebagai bapanya yang banyak memberikannya motivasi serta nasihat berguna dalam membina kerjaya semasa dan selepas bersara sebagai pemain.

“Malah Nelson menganggap Azraai sebagai pembimbing utama sehingga beliau memperoleh lesen kejurulatihan A dan pernah berpeluang membimbing skuad Langkawi City pada musim 2020,” kata Amirul Nizam.

Nelson melalui media sosialnya semalam turut memuatnaik gambar beliau bersama Azraai ketika mereka dan skuad Hijau Kuning diraikan dengan pingat selepas menjulang kejuaraan Piala Malaysia.

sumber:- BH

Selain Nelson, penyerang import Marlon Alex James turut melahirkan perasaan duka dan terkejut sambil mengucapkan takziah sebaik mengetahui berita pemergian bekas jurulatih kesayangan mereka itu.