sukan

Cheng Hoe bercuti bermula hari ini

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe hanya mengambil cuti singkat bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga di kampung halamannya, di Simpang Empat di sini berikutan jadual yang padat.

Cheng Hoe berkata sempena perayaan kali ini, beliau bercuti bermula hari ini dan akan kembali bertugas Isnin depan.Beliau berkata meskipun saingan liga hanya akan bermula Mei depan, latihan secara berperingkat telah dijalankan skuad Gergasi Merah.

“Bagaimanapun, kita belum dapat pasukan penuh lagi setakat ini, kemajuan sedikit perlahan kerana ada pemain yang bermain di Piala Asia masih diberikan rehat,” katanya di sini hari ini.

Antara pemain Selangor yang beraksi di Piala Asia ialah pemain skuad Harimau Malaya Faisal Halim, Khuzaimi Piee, Noor Al-Rawabdeh (Jordan) dan Umar Eshmurodov (Uzbekistan).

Mengenai Tahun Baharu Cina yang disambut esok, Cheng Hoe berkata kira-kira 20 ahli keluarganya akan berkumpul malam ini untuk makan besar.

“Sambutan perayaan tahun ini secara sederhana sahaja, kami akan berkumpul beramai-ramai, sudah pastinya meriah.

“Bagi persiapan di rumah juga semuanya biasa-biasa sahaja dan buat masa ini tiada sebarang perancangan untuk mengadakan rumah terbuka,” katanya.

sumber:- BH

Cheng Hoe yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik itu, berharap tahun naga akan memberi kebahagiaan, kejayaan dan kesihatan yang baik buat beliau dan keluarga. – BERNAMA