sukan

Bukan Dion Cools yang dimaksudkan — JDT

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil menjelaskan bahawa bukan tonggak kebangsaan, Dion Cools yang terbabit dalam cubaan untuk mengheret kelab itu ke dalam perangkap perang bidaan pemain.

Penjelasan itu dibuat Harimau Selatan menerusi satu komen di laman Instagram rasmi kelab susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards.

“Not (bukan) Dion Cools. Thank you (terima kasih),” tulis juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu.

Sebelum ini, spekulasi hangat diperkatakan bahawa Cools yang beraksi bersama kelab Thailand, Buriram United bakal menyertai JDT.

Terdahulu, Edwards menjelaskan pihaknya percaya terdapat cubaan untuk mengheret JDT ke dalam perangkap perang bidaan apabila pihaknya ditawarkan seorang pemain Malaysia yang bermain di luar negara.

Beliau berkata, skuad Harimau Selatan bagaimanapun menolak tawaran berkenaan disebabkan harga yang disebutkan adalah tidak munasabah.

“Kami percaya terdapat percubaan untuk meningkatkan nilai pemain dengan mencipta perang bidaan, sesuatu yang JDT tidak akan terperangkap,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers.

Selain itu, Edwards menjelaskan bahawa juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu sudah mempunyai skuad yang baik selepas membawa masuk beberapa pemain baharu bagi menghadapi musim 2024/25.

“Kami percaya skuad Harimau Selatan 2024/25 sudah mempunyai ‘squad depth’ yang baik berdasarkan beberapa pemain yang sudah diumumkan setakat ini.

“Beberapa (pemain) lagi akan menyusul yang mana ia bukan sahaja memperkuatkan skuad tetapi juga menepati 40 peratus pengurangan perbelanjaan berbanding musim sebelumnya,” katanya.

JDT sebelum ini mengumumkan pemain import baharu bernilai tinggi termasuk Jalil Elias, Francisco Geraldes dan Murilo Henrique bagi menghadapi saingan musim 2024/2025.

sumber:- BH

Malah, skuad Harimau Selatan juga bakal diperkuatkan dengan seorang pemain naturalisasi dengan Romel Morales dikhabarkan sebagai calon pemain itu.