sukan

Tidak boleh diambil kira

Markah rendah yang diberikan laman sesawang teamform.com terhadap Liga Super tidak menjejaskan reputasi atau kualiti saingan utama bola sepak Malaysia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya tidak terlalu melihat kepada penilaian yang dibuat oleh laman tidak rasmi.

Beliau berkata, apa yang menjadi petunjuk atau tumpuan utama adalah penilaian daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selaku badan induk bola sepak rantau Asia.

“Garis ukur daripada AFC termasuk mengenai pelesenan dan untuk mendapat slot dalam kejohanan peringkat Asia menjadi garis ukur untuk kedudukan liga di rantau kita. Jadi tidak praktikal dan realistik menggunakan statistik dari platform yang tidak rasmi.

“Kalau nak dibandingkan kedudukan ranking Liga Super, tengoklah kedudukan dalam ranking AFC yang mana saya fikir lebih tepat mengikut pengukuran pentadbir bola rantau kita.

“Namun, penilaian (teamform.com) tidak merencatkan kualiti liga kita yang mana kualiti itu sudah dibuktikan dengan persembahan pasukan (wakil kelab Malaysia) dalam kejohanan di rantau Asia. Saya tak pernah tengok pasukan Liga 2 Thai main dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia).

“Kadang-kadang cara melakukan penilaian atau garis ukur berbeza, saya tak boleh mengatakan (laman tidak rasmi) betul atau tidak. Namun, kami mengikut ukuran AFC sebagai pentadbir bola sepak rantau Asia dan ia ukuran rasmi liga kita,” katanya.

Sebelum ini, BH Sukan melaporkan teamform.com meletakkan Liga Super di tangga ke-39 dalam kedudukan liga di benua Asia bagi suku pertama 2024 dengan rating 39.2 mata.

Kedudukan itu menyaksikan Liga Super berada lebih rendah daripada Liga 1 Thai (tangga ke-17), Liga 1 Vietnam (34) dan Liga 1 Indonesia, malah lebih rendah daripada Liga 2 Thai (31).

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli juga menerusi laporan BH Sukan sebelum ini menyifatkan kedudukan Liga Super yang diberikan laman berkenaan sebagai tidak logik sekiranya penilaian dibuat berdasarkan prestasi pasukan bertanding.

sumber:- BH

Ia berdasarkan kualiti dimiliki Liga Super selain persembahan positif beberapa kelab Malaysia yang beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.