sukan

Sanusi akhirnya buka mulut isu gaji Kedah

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil alih pengurusan kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) dan membayar gaji tertunggak pemainnya ketika ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata, ini kerana siasatan yang dilakukan SPRM ke atas KFA berkaitan isu rasuah menyebabkan penaja yang berminat menaja KDA FC menarik diri kerana bimbang terkait dalam isu berkenaan.

“Orang bukan faham beza KFA dan KDA FC, mereka tahu pasukan bola saja. Bila dibuat tangkapan dan dituduh ada rasuah sedangkan tiada, maka penaja KDA FC lari kerana mereka kata ada rasuah.

“Jadi saya cadangkan SPRM ambil alih pasukan bola sepak KDA FC kerana mereka pandai sangat boleh tadbir pasukan bola, boleh bayar gaji,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, sejak ditubuhkan pada 1924, pasukan bola sepak Kedah bergantung kepada tajaan untuk membayar gaji pemain, tetapi kini gagal berbuat demikian sehingga pasukan berkemungkinan tidak dapat bersaing pada Liga Super musim hadapan.

“Saya tahu suatu ketika dahulu bila tak ada duit, terpaksa tebang kayu balak maka dapat dana untuk biaya pasukan. Tapi bila semua ini dikacau, seolah untuk gambarkan keadaan buruk, maka pasukan bola sepak terima nasib.

“Awal dulu mereka kata saya suka cari gaduh. Siapa yang buat tetapan terlalu tinggi sampai ke peringkat ini sehingga pasukan tak boleh bayar gaji, ada negeri lain tak boleh ikut. Kalau itu (syarat ketat) tidak dilakukan, saya rasa keadaan ini tak berlaku.

“Kita buat elok, saya ambil alih empat tahun lalu, boleh selesai masalah hutang, boleh mula bayar gaji. Tiba-tiba datang kacau macam itu, rosak habis semua sampaikan sekarang ini tak boleh bayar gaji,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak boleh lagi mencampuri urusan KDA FC kerana ia adalah pasukan swasta yang dimiliki individu serta diuruskan sebagai sebuah syarikat.

Bagaimanapun katanya, beliau dimaklumkan pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar sedang berusaha menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pengurusan pasukan berkenaan secepat mungkin.

sumber:- BH

“Masa pasukan di bawah KFA lagi saya sudah tegaskan tidak akan guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji pemain sebab ini duit orang ramai. Bila sudah diswastakan menjadi tanggungjawab syarikat itu (bayar gaji),” katanya.