sukan

Piala Asia: ‘pisang tidak berbuah dua kali’

Pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann menyeru barisan pemain agar ‘pisang tidak berbuah dua kali’ ketika dijadual bertemu Jordan sekali lagi pada aksi separuh akhir Piala Asia 2023 di Stadium Ahmed bin Ali malam ini.

Sebagai rekod, skuad Taeguk Warriors telah bertemu Jordan pada aksi Kumpulan E dengan pasukan Asia Barat itu mencipta kejutan dengan mencuri mata selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.

Kata Klinsmann, aksi separuh akhir nanti boleh dianggap sebagai permulaan baharu buat pasukan untuk melupakan prestasi mengecewakan yang telah dipamerkan peringkat kumpulan sebelum ini.

“Kami sangat gembira dapat menjejakkan kaki ke pusingan separuh akhir dan bakal menentang Jordan. Kita telah bertemu mereka di peringkat kumpulan dan tahu dimana kekuatan serta kelemahan pasukan lawan.

“Aksi akan bermula dengan 0-0 dan saya jangka pasukan bakal berjuang sepenuh hati seperti yang ditampilkan beberapa perlawanan lepas. Harap kali ini kita dapat menamatkan saingan di pada 90 minit berbanding mengheret aksi ke masa tambahan,” katanya.

Sementara itu, kapten Korea Selatan, Son Heung-min mengakui barisan pemain agak kepenatan selepas dua perlawanan kalah mati yang diharungi berakhir dengan masa 120 minit.

“Sejak saya jadi pemain profesional, ini kali pertama saya mengharungi dua perlawanan berturut-turut pada masa tambahan. Sudah pasti pemain-pemain agak kepenatan tetapi dalam masa sama teruja untuk mengharungi perlawanan akhir,” katanya. – AGENSI