sukan

Malaysia bawah Indonesia,Vietnam dan Thailand

Liga Super berada pada tangga ke-39 dalam kedudukan liga di benua Asia bagi suku pertama 2024 seperti yang disenaraikan laman sesawang teamform.com.

Kedudukan ke-39 dengan rating 39.2 mata itu menyaksikan Liga Super berada pada tempat lebih rendah berbanding Liga 2 Jepun yang berada di kedudukan ke-15, Liga Kebangsaan Korea (21) dan Liga 3 Jepun (28).

Malah, Liga 2 Thai berada pada kedudukan ke-31 sementara divisyen dua Arab Saudi berada pada tangga ke-35.

Sebagai perbandingan untuk liga di ASEAN, Liga 1 Thailand berada pada kedudukan tertinggi iaitu tangga ke-17 dengan rating 56.3 diikuti Liga 1 Vietnam (34) dengan rating 41.1 mata.

Liga 1 Indonesia berada satu anak tangga di atas Liga M pada kedudukan ke-38 dengan rating 39.5 mata.

Empat kedudukan teratas bagi benua Asia diisi Liga Korea dengan rating 71.2 mata disusuli Liga Pro Persia di Iran (71) dan Liga A (Australia) yang memiliki rating 69 mata.

Liga 1 Jepun melengkapkan senarai empat teratas dengan rating 68.6 mata.

Di peringkat dunia, Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi liga nombor satu dunia dengan rating 93.6 mata diikuti La Liga (91.3) dan Bundesliga (90.3).

Liga Korea yang berada di tangga nombor satu Asia berada pada kedudukan ke-42 dunia.

Rating Teamform (TFR) terbabit mewakili prestasi dan kemampuan setiap pasukan dan berpandukan menerusi keputusan perlawanan lampau menggunakan sistem rating sofistikated membabitkan model statistik dan juga formula matematik.

sumber:- BH

TFR bukan sahaja sistem ranking untuk menilai pencapaian berpasukan tetapi ia juga untuk menilai kemampuan sebenar pasukan bola sepak dan meramal keputusan sesuatu perlawanan.