sukan

Jangan buat lagi berdepan Oman

Persembahan cemerlang ditampilkan Harimau Malaya ketika mengikat pasukan ranking ke-23 dunia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi Piala Asia bulan lalu harus dikekalkan untuk berdepan Oman pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.

Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan berkata, keputusan yang diraih menentang Korea Selatan menunjukkan bahawa skuad negara mampu bersaing dengan pasukan besar atau di ranking lebih tinggi.

“Apa yang kita pamerkan ketika menentang Korea Selatan perlu diterjemahkan untuk perlawanan akan datang. Harapan saya, tak ada lagi kita kata macam eksperimen sebab apabila beraksi di peringkat tertinggi, sedikit kesilapan memang akan menghukum pasukan.

“Selepas ini kita akan mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia dan kita sasar untuk kembali ke Piala Asia. Jadi, persiapan dari sekarang sangat penting,” katanya.

Selain itu bekas pemain Selangor dan Pahang itu berkata, skuad kendalian Kim Pan Gon juga perlu menggunakan kepincangan berlaku dalam skuad kebangsaan Oman sebagai kelebihan untuk meraih keputusan positif.

Oman baru mendapatkan khidmat bekas pengendali Republik Czech, Jaroslav Silhavy, awal bulan ini bagi menggantikan Branko Ivankovic yang dipecat susulan prestasi buruk skuad Red Demons di Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, berbaki sebulan lebih sebelum menentang Malaysia, mungkin Silhavy berdepan tempoh singkat untuk membentuk skuad Oman yang benar-benar sempurna.

Razman menyifatkan Harimau Malaya perlu menggunakan kelebihan itu meskipun Oman dianggap sebagai pasukan pilihan berdasarkan ranking mereka di kedudukan 74 dunia.

“Dari segi motivasi kita lebih dari Oman, mereka juga tak layak ke pusingan kedua Piala Asia dan kita dengar mereka pecat jurulatih.

“Jadi kita kena gunakan kesempatan atau kelebihan daripada ketidakstabilan pasukan itu sendiri untuk kita mendapatkan keputusan positif sebab kita sudah buktikan lawan Korea Selatan yang kita boleh.

“Memang ranking Oman lebih tinggi, mungkin kita pergi sana boleh seri dan balik (beraksi) di sini (tempat sendiri) kita menang. Jika keputusan itu dapat dicapai, ia satu keputusan yang amat baik untuk pasukan kebangsaan,” katanya.

Harimau Malaya terlebih dahulu akan bertandang ke Muscat pada 22 Mac depan sebelum skuad kendalian Kim Pan Gon itu akan menanti kunjungan Oman di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.