Jordan akan melakar satu lembaran dalam lipatan sejarah apabila mereka berdepan Korea Selatan diketuai Son Heung Min pada Piala Asia malam esok manakala tuan rumah dan penyandang juara Qatar menentang Iran pada satu lagi separuh akhir.
Di atas kertas Korea Selatan dijangka mengalahkan Jordan yang merupakan pasukan ranking paling rendah masih bersaing pada kejohanan itu dan layak ke separuh akhir buat kali pertama.
Namun Jordan mengikat Korea Selatan 2-2 pada peringkat kumpulan, dengan anak buah Jurgen Klinsmann hanya meraih keputusan seri pada masa kecederaan apabila Yazan Al-Arab tertampan percubaan Hwang In Beom ke dalam golnya sendiri.
Di bawah kendalian jurulatih dari Maghribi, Hussein Ammouta, Jordan meledak dua gol pada masa kecederaan untuk menundukkan Iraq pada pusingan 16 terakhir dan kemudian menamatkan cerita dongeng pasukan kali pertama tampil Tajikistan pada suku akhir.
Ia meletakkan Jordan, kini di tangga ke-87 dalam ranking FIFA dan melakukan penampilan sulung Piala Asia pada 2004, layak ke separuh akhir buat julung kalinya.
“Tumpuan kami kini untuk merebut trofi,” kata pemain pertahanan Abdallah Nasib, tandukannya pada babak kedua terbias pertahanan Tajikistan, Vahdat Hanonov bagi gol tunggal perlawanan.
“Apa yang pasukan Jordan capai ketika ini mengesahkan tiada apa yang mustahil.”
Daripada empat pasukan pada separuh akhir, Jordan satu-satunya pasukan yang belum pernah memenangi Piala Asia.
Lawan mereka Korea Selatan sudah menjulang trofi itu dua kali, tetapi kali terakhir adalah pada 1960 dan Taeguk Warriors menerima tekanan tinggi di negara mereka untuk menamatkan kemarau itu.
Mereka juga tidak begitu memukau. Diikat oleh Jordan dan Malaysia pada peringkat kumpulan, mereka menundukkan Arab Saudi menerusi penentuan penalti pada pusingan 16 terakhir dan kemudian memerlukan sentuhan magis Heung Min untuk menyingkirkan Australia selepas masa tambahan.
Selain bergantung harap kepada kualiti kapten dan bintang Spurs, Heung Min, pasukan kendalian Klinsmann juga mengharapkan beberapa siri gol lewat untuk kekal bersaing di Qatar.
Media Korea Selatan, yang kurang menyukai pengendali dari Jerman itu memanggilnya “bola sepak zombie”.
Heung Min sebaliknya berkata keupayaan pasukan untuk bangkit daripada saat cemas dalam permainan membuktikan daya tahan mereka.
sumber:- BH
Korea akan terlepas khidmat pemain pertahanan Bayern Munich, Kim Min Jae kerana menjalani penggantungan perlawanan.Qatar, yang mengalahkan Jepun pada final 2019, akan bertemu Iran pada separuh akhir kedua Rabu ini. – AFP