sukan

Komen Klopp selepas dimalukan Arsenal

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp enggan mempersalahkan dua bintang utamanya Virgil van Dijk dan Alisson susulan kesilapan mereka menyaksikan kekalahan pasukannya di tangan Arsenal awal pagi tadi.

Van Dijk teragak-agak ketika menerima tekanan pemain Arsenal, Gabriel Martinelli pada minit ke-67, kemudian penjaga gol Alisson meluru keluar dan tidak berjaya menyambar bola sekali gus membolehkan Martinelli mudah menyepak masuk untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Ia mengecewakan pasukan pendahulu liga kendalian Klopp dan gol Leandro Trossard pada masa kecederaan mengesahkan kekalahan kedua mereka dalam liga musim ini.

“Kami semakin berkembang dalam permainan, babak kedua, kami mempunyai detik kami dan kemudian kami melepaskan gol itu,” kata Klopp. “Ia tidak banyak membantu. Ia menunjukkan mereka hanya manusia biasa.

“Hari ini kami benar-benar manusia biasa.” Liverpool beraksi hambar jauh daripada persembahan terbaik mereka dan kelebihan mereka kini dikurangkan kepada dua mata manakala juara bertahan Manchester City lima mata di belakang dengan beraksi kurang dua perlawanan.

“Secara umum kami mengakui Arsenal berhak meraih tiga mata,” kata Klopp. “Keadaannya agak pelik sedikit.

“Mereka menjaringkan gol dan dalam banyak segi lebih bagus berbanding kami. Kami perlu bermain dengan lebih baik, ia jelas.”

Arsenal mendahului menerusi Bukayo Saka dan mendominasi tetapi cabaran mereka terencat seketika pada masa kecederaan babak pertama apabila gol sendiri Gabriel menghadiahkan Liverpool gol penyamaan.

sumber:- BH

Namun mereka bingkas selepas rehat, dibantu dengan kesilapan benteng pertahanan Liverpool dan kemenangan ketiga liga berturut-turut menyaksikan anak buah Mikel Arteta berada di landasan tepat mencabar kejuaraan ketika kekalahan akan menyaksikan mereka ketinggalan lapan mata di belakang. – REUTERS