sukan

Piala Asia: Iran lakar kejutan singkir pilihan Utama

Iran melakar kejutan apabila menyingkirkan juara empat kali Jepun 2-1 pada aksi suku akhir Piala Asia selepas kapten pasukan, Alireza Jahanbakhsh melunaskan sepakan penalti pada masa kecederaan, hari ini.

Iran tidak pernah menewaskan Jepun dalam tempoh 19 tahun dan kemenangan itu secara tidak langsung melanjutkan rentak tanpa kalah pengendali mereka, Amir Ghalenoei kepada 16 perlawanan sejak mula mengendali pasukan pada Mac.

Beraksi di Stadium Education City, Jepun mendahului perlawanan menerusi Hidemasa Morita yang berjaya ‘memukau’ empat pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand.

Namun Iran berjaya menyamakan kedudukan 10 minit selepas babak kedua bermula menerusi Mohammad Mohebi untuk menewaskan penjaga gawang Jepun, Suzuki.

Jepun menguasai perlawanan pada babak pertama namun keadaan bertukar sebaliknya apabila Iran kembali bangkit menerusi jaringan penyamaan berkenaan.

Iran terus melakukan serangan bertali arus sebelum usaha mereka itu membuahkan hasil diinginkan pada masa kecederaan babak kedua.

Ko Itakura melakukan kesilapan pada minit ke-94 sebelum menjatuhkan Hossein Kanani dalam kotak penalti.

Situasi berkenaan pantas disedari pengadil yang selepas itu menghadiahkan sepakan penalti kepada Iran sebelum ia dilunaskan sebaiknya oleh Jahanbakhsh.

Iran bakal mengetahui lawan mereka di separuh akhir apabila juara bertahan Qatar menentang Uzbekistan.

sumber:- BH

Jordan dijadual bertemu Korea Selatan dalam satu lagi aksi separuh akhir. – REUTERS