Brendan Gan dikatakan bakal memilih Sri Pahang FC bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025 selepas bekas kapten Selangor FC itu mengumumkan perpisahan dengan The Red Giants, baru-baru ini.
Difahamkan, pemain Harimau Malaya itu memilih skuad dari Pantai Timur meskipun ada beberapa pasukan lain turut berminat mendapatkan khidmatnya – pada ketika Sri Pahang juga sedang mengintai pemain berpengalaman di posisi tengah.
Begitupun menurut sumber, setakat ini, tiada kata putus sama ada pemain berusia 35 tahun itu akan memperkasakan skuad kendalian Fandi Ahmad itu.
“Difahamkan, perbincangan ada tetapi ia masih lagi belum muktamad kerana dia (Brendan) baharu sahaja diumumkan tidak lagi bersama Selangor. Sudah pasti ada beberapa pasukan lain yang turut berminat mendapatkan khidmatnya berdasarkan pengalaman yang dimiliki.
“Apa yang boleh dikatakan ialah perbincangan ke arah itu (sertai) Sri Pahang ada tetapi tiada kata putus buat masa ini,” menurut sumber itu.
sumber:- BH
Brendan merekodkan 80 penampilan sepanjang empat musim bersama Selangor sejak 2020 dan 75 daripadanya, dia diturunkan dalam kesebelasan utama kelab itu.