sukan

FAM perlu elak ‘ditipu’ pemain berdarah kacukan

Penilaian untuk pemain berdarah kacukan yang dilihat dapat memperkasa skuad kebangsaan perlu dibuat berdasarkan data dan tidak hanya merujuk kepada ‘video kompilasi’ semata-mata.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus menjelaskan pendekatan sebegitu wajar dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengelak badan induk itu ‘ditipu’ sekali gus mendapat pemain berdarah kacukan yang kualitinya lebih rendah berbanding anak tempatan.

“Tapisan diperlukan untuk mendapatkan pemain yang berkualiti. Bukan sekadar dengar info daripada apa-apa sumber kerana mereka mesti dilihat dan diteliti dengan kualiti yang sebenar walaupun bermain di liga mana sekalipun.

“Kalau tengok video sahaja, mujur nasib baik jika kita dapat yang baik. Kalau tidak, kita akan dapat yang sekadar indah khabar dari rupa. Jadi kita perlukan pemain berbakat yang benar-benar boleh diharapkan dan boleh bekerjasama dengan kita.

“Kita perlukan data yang berterusan dan benar-benar jelas atas sesuatu pemain. Jadi ini memudahkan untuk kita menilai setiap datanya. Tiada lagi istilah ‘percubaan’ kerana ini tidak sesuai untuk konteks dalam liga profesional,” katanya.

Sebagai rekod, bukan setakat pemain Barcelona B, Naim Garcia yang berdarah Sepanyol memiliki keturunan Malaysia tetapi ramai lagi pemain kacukan yang layak mewakili Harimau Malaya ketika ini sedang beraksi di luar negara.

Terima kasih kepada laman pencari bakat, frfuturetalents yang berjaya mengesan lambakan kelompok pemain itu dan pada usia yang muda mereka boleh mengisi banyak posisi dengan situasi ini mampu memberi manfaat jangka panjang buat skuad kebangsaan.

Dalam masa sama, bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu melihat kehadiran ramai pemain kacukan ini sebagai peluang yang terbaik dan FAM perlu memanfaatkan kesempatan ini untuk membentuk skuad kebangsaan yang lebih baik untuk masa akan datang.

“Apa sahaja peluang yang ada untuk menguntungkan skuad kebangsaan, kita perlu cuba kerana ini menambahkan lagi pilihan yang kita ada. Dengan kualiti yang semakin ramai, barisan kejurulatihan akan memberi penilaian yang betul-betul teliti.

sumber:- BH

“Dengan ini, kesebelasan utama dan juga di bangku simpanan dapat berada pada standard yang sama. Ini juga peluang menyegarkan pasukan dan memberi impak bagi jangka masa panjang,” katanya.