Bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Azraai Khor Abdullah berharap pemilik kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil segera untuk menjelaskan situasi sebenar apa yang terjadi dan tidak hanya berdiam seribu bahasa.
Jelas Azraai, sebagai bekas pemain dan jurulatih yang pernah mencetuskan fenomena dengan kejuaran ‘double treble’ pada 2007 dan 2008 itu berasa sedih dan kecewa dengan apa yang di alami oleh pemain dan pasukan ketika ini.
“Saya rasa simpati dan sedih. Dalam sejarah kali pertama terjadi seperti ini, memang saya harap pemilik kelab ambil tanggungjawab dan selesaikan secepat mungkin.
“Musim sudah tamat dan pasukan lain sudah rekrut pemain, kita (KDA) nak buat apa pun tak tahu lagi. Memang sedih sebagai bekas pemain dan mantan jurulatih pasukan.
“Saya harap jasa baik pemilik kelab dapat tampil untuk menjejaskan keadaan dan sebagainya. CEO (Pegawai Eksekutif, Khamal Idris Ali) sudah letak jawatan dan orang yang betul-betul bertanggungjawab adalah pemilik kelab untuk tampil.
“Tidak salah jika kamu (pemilik kelab) cerita apa yang kamu usahakan, bagi tahu sahaja kenapa perlu menyepi biarpun pemain berdegup jantung setiap hari, (berfikir) apa yang nak jadi. Apa rasa sekiranya mereka berada di tempat pemain,” katanya .
Terdahulu, Arena Metro melaporkan krisis tunggakan gaji membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih tidak menemui titik penyelesaian, malah situasi semakin mencengkam.
Beberapa pemain KDA FC menghubungi Arena Metro bagi meluahkan kemelut dihadapi dengan majoriti mengakui masih tidak menerima baki tunggakan gaji selama empat bulan.
sumber:- HM
Difahamkan oleh sumber, tunggakan gaji empat bulan dari September itu sepatutnya selesai pada hari ini (31 Januari 2024), seperti dipersetujui antara pemain dan pengurusan pasukan.