sukan

Santos FC dan Kedah salah faham

Kedah Darul Aman (KDA) FC memaklumkan wujud salah faham antara pihak pengantara dan kelab Santos FC mengenai aksi persahabatan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman, 17 Februari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, pihaknya ada menerima cadangan dari pihak pengantara atau promoter sekitar awal tahun ini berkaitan aksi persahabatan itu namun tidak menyatakan sebarang persetujuan.

“Kami ada menerima pelawaan daripada promoter untuk membawa kelab ternama dari Brazil iaitu Santos FC bagi mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di Kedah dan diberi tarikh pada 17 Februari.

“Mengikut perancangan awal itu, kami tidak boleh. Kami juga sudah maklumkan tidak bersedia untuk perlawanan sebab kami belum lagi memulakan latihan pasukan dan rancangan latihan kami pula hanya bermula sekitar tarikh berkenaan.

“Namun kami terkejut apabila mendapati pihak Santos FC mengeluarkan jadual perlawanan itu (17 Februari) di laman rasmi kelab berkenaan dua hari lalu.

“Apabila kami bertanya semula kepada pihak promoter berkenaan, beliau memberi maklum balas adanya salah faham berkaitan perancangan yang diatur itu,” katanya.

Shahrul juga memaklumkan tiada sebarang pengesahan secara hitam putih yang mengatakan pihaknya setuju dan beliau juga tidak pasti bagaimana ‘pengesahan’ itu diterima pihak Santos FC.

“Tidak ada sebarang persetujuan rasmi dari pihak KDA FC dan ianya hanya sekadar jemputan secara mulut daripada pihak promoter atau pengantara.

“Untuk sebarang aksi persahabatan, pihak pengurusan pasti akan rujuk terlebih dahulu dengan pasukan dan dari awal lagi memang kami tidak bersedia pada tarikh yang dicadangkan itu kerana pihak kami (pasukan) belum sempat membuat persediaan latihan.

“Jadi promoter akan maklumkan Santos FC untuk pembatalan aksi perlawanan ini dan dalam masa yang sama, kami tetap menghormati pihak Santos FC yang meletakkan nama kami dalam senarai antara pasukan dalam saingan mereka,” katanya.

Santos FC yang beraksi dalam Serie B Brazil sebelum ini menceriakan peminat bola sepak negara apabila memuatnaik maklumat perlawanan persahabatan jelajah antarabangsanya menentang KDA FC yang merupakan lawatan pertama Alvinegro ke rantau Asean ini.

sumber:- BH

Pengumuman itu dibuat melalui laman rasmi kelab berkenaan dua hari lalu yang memaklumkan ketibaan mereka ke Kedah bagi menghadapi perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman pada 17 Februari ini selepas menyertai kejohanan merebut Piala Equity (Equality Cup) yang merupakan saingan awal mereka di Doha, Qatar bermula 4 Februari hingga 13 Februari.