sukan

Sanggup tolak gaji demi Malaysia

PENGENDALI skuad hoki 5 sebelah (5s) lelaki negara, ­Wallace Tan mendedahkan beliau menolak daripada me­nerima gaji sebagai jurulatih kerana menyedari kekangan yang ­dihadapi ketika itu.

Menurut Wallace, sejak diminta membentuk pasukan menghadapi Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina, beliau hadir de­ngan niat membantu tanpa meletakkan wang tunai untuk membimbing skuad itu.

Pengorbanan Wallace berbaloi apabila skuad kendaliannya kini dianggap sebagai kuasa besar hoki 5s di pentas dunia selepas muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s 2024.

“Ketika diumumkan ada kejohanan dan saya diminta membantu, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju. Saya tidak kisah sangat mengenai gaji atau elaun kerana mahu membantu pasukan mengharumkan nama Malaysia.

“Saya mula membentuk pasukan sebelum menghadapi Olimpik Remaja dan ketika itu mereka berjaya memenangi pingat emas.

“Sekarang, sebahagian daripada pasukan itu berada dalam skuad yang muncul naib juara Piala Dunia ini,” kata Wallace.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini berkongsi kisah mengenai pelbagai kekurangan diharungi skuad hoki 5s termasuk pemain ­hanya menerima elaun latihan.