sukan

Sah pasukan baharu Akram Mahinan

Bekas ‘arkitek’ Kuala Lumpur (KL) City, Akram Mahinan sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas menerusi kenyataan media rasmi kelab itu sebentar tadi berkata, bekas pemain tengah skuad kebangsaan kelahiran Kedah itu dirantai selama semusim.

“Akram kini secara rasminya diumumkan sebagai pemain TFC bagi musim 2024/2025. Pemain yang beraksi di posisi tengah itu sudah menandatangani kontrak selama satu musim.

“Bekas pemain tengah KL City FC itu yang menyatakan bagaikan tidak sabar untuk beraksi bersama TFC yang memberikan sinar baharu buatnya bakal menyarung jersi nombor 14.

“Kita meletakkan harapan yang tinggi kehadiran pemain berpengalaman itu mampu memperkasakan lagi skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu selain mampu memberikan impak luar biasa untuk kelab ini.

“Pemain itu dijangka bakal bergandingan dengan perancang import kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov selepas kapten musim lalu, Habib Haroon tidak lagi bersama TFC pada musim ini.

“Bagaimanapun semuanya bergantung kepada perancangan ketua jurulatih, Tommy (Tomislav), lagipun pasukan juga turut mengintai beberapa lagi pemain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain pada musim lalu,” jelas Mohd Sabri menerusi kenyataan itu.

Berdasarkan rekod, selain membantu KL City FC menjulang trofi Piala Malaysia pada 2021, Akram pernah beraksi dengan empat pasukan dalam Liga M termasuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC), PKNS dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sepanjang bersama dengan pasukan terakhirnya, pemain berusia 31 tahun itu menjadi antara pemain utama yang berjaya membantu pasukan berkenaan kembali menyertai saingan Liga Super pada 2020 dan mara ke pusingan akhir saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada 2022 serta naib juara Piala FA 2023.

sumber:- BH

Akram juga merupakan antara pemain yang memiliki kekuatan fizikal yang cukup baik serta antara pemain yang terkenal dengan corak permainan agresif dalam bertahan yang dilihat dapat membantu memperkemaskan dan memberi impak pada bahagian tengah TFC.